Ahad, 14 Oktober 2018 | 6:43pm
DATUK Seri Mukhriz Mahathir. - Foto NSTP

Kemenangan PH tanda sokongan rakyat

ALOR SETAR: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson semalam, dianggap menjadi satu referendum kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata ia jelas menunjukkan apa juga kritikan yang dilemparkan pembangkang kepada kerajaan PH adalah meleset sama sekali.

Beliau berkata, keputusan PRK Port Dickson juga mengukuhkan lagi sokongan rakyat kepada kerajaan sedia ada.

“Keputusan PRK Port Dickson menjadi satu referendum jelas kepada PH. Kemenangan ini menjadi petanda sokongan rakyat kepada rancangan peralihan kuasa yang dijanjikan sebelum ini iaitu dari Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini juga menunjukkan gandingan mereka berdua diterima baik semua pihak, maka proses peralihan itu boleh dirancang dengan lebih rapi supaya tidak ada ketidaktentuan,” katanya yang ditemui di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Semalam, Anwar yang juga Ketua Umum PH memenangi PRK Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi mengalahkan enam lagi calon termasuk Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan pembantu peribadi beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, pencabar terdekat Anwar memperoleh 7,456 undi.

Dengan kemenangan itu, Anwar dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen esok yang juga hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen Ke-14 bersidang.

Berita Harian X