Ahad, 14 Oktober 2018 | 6:02pm

Lagu Saleem menemani Guan Eng

KUALA LUMPUR: Siapa sangka, dalam jutaan peminat yang sedih dengan pemergian penyanyi terkenal Saleem atau AM Saleem Abdul Majeed, 57, seorang daripadanya adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Berkongsi kesedihan beliau di media sosial Facebook, Guan Eng berkata, lagu ‘Suci Dalam Debu’ dendangan vokalis kumpulan Iklim itu, meninggalkan kenangan manis buat dirinya.

Katanya, lagu Allahyarham sentiasa menjadi peneman jiwanya ketika aktif dalam politik selaku pembangkang sebelum ini.

“Lagu Allahyarham bersama Iklim, Suci Dalam Debu, adalah kenangan manis buat saya pada awal 1990-an.

“Ketika berjuang sebagai pembangkang, lagu-lagu Saleem menemani jiwa saya, malah, beberapa lagu rock Allahyarham juga menawan hati,” katanya.

Setiausaha Agung DAP itu, juga mengakui amat sedih dengan kematian Saleem dan turut mengucapkan takziah kepada keluarga penyanyi itu.

“Semoga Allahyarham tenang abadi di sana,” katanya.

Coretan Ahli Parlimen Bagan itu turut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang turut bersimpati serta teruja dengan minatnya terhadap Saleem.

Lizawati Yusoff menyatakan: “Penghormatan tak kira bangsa dan agama terbaik YB dan salam takziah buat keluarga Allahyarham Saleem.”

Sunny Dave Bhandal pula menyatakan beliau tidak menyangka Guan Eng turut meminati lagu rock Melayu.

“Fuyoh boleh tahan Yb minat rock Melayu. Salam Takziah. Terima Kasih untuk lagu dan suara yang merdu. Lagu pasti evergreen.”

Azmi Soc, turut senada dan teruja mengetahui penyanyi Saleem turut diminati oleh Guan Eng.

“Innalillahiwainnailahirajiuon. Al-fatihah. Tak sangka YB juga peminat dan terkesan dengan pemergian arwah, penyanyi bersuara emas,” tulisnya.

Saleem, 57, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, di sini pada jam 6.30 pagi tadi selepas 22 hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, kerana kemalangan jalan raya di Bandar Mahkota Cheras.

150 dibaca
Berita Harian X