Ahad, 14 Oktober 2018 | 5:08pm
DR Hatta Ramli - Foto ZUNNUR AL SHAFIQ

Kementerian Pembangunan Usahawan sasar tiga kelompok

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan memberi tumpuan kepada tiga kumpulan sasaran iaitu kelompok berpendapatan bawah (B40), wanita serta golongan muda dalam mempertingkatkan penyertaan mereka dalam sektor keusahawanan negara.

Timbalan Menterinya, Dr Hatta Ramli berkata, dalam konteks itu, kementeriannya komited untuk membangunkan usahawan dalam kalangan kumpulan B40, yang mana 70 peratus daripadanya adalah golongan Bumiputera.

Katanya, ia bukanlah semata-mata berkaitan bangsa, namun MED akan membantu kepada kumpulan sasaran yang memerlukan bantuan sedemikian.

“Apa yang boleh saya katakan, sekiranya mereka dari kelompok yang memerlukan kita, bantu sekiranya mereka berminat untuk menjalankan perniagaan. Itu adalah hasrat kerajaan di era ini.

“Malah, kementerian juga secara proaktif turut mencari ruang untuk membantu mereka khususnya dari Sabah dan Sarawak yang dilihat berpotensi untuk melaksanakan keusahawanan dalam sektor tertentu,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Usahawan #JOMMASUKTV di sini, baru-baru ini.

Selain itu, Hatta berkata, golongan wanita juga mempunyai ketahanan serta personaliti yang berdaya tahan sekali gus membuktikan kelompok itu mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam bidang keusahawanan.

“Sebagai contoh, melihat kepada sikap golongan wanita itu sendiri apabila membuat pinjaman, mereka lebih cenderung untuk menyelesaikan ansuran pembiayaan dengan lebih teratur dan cekap.

“Perkara ini melambangkan kesungguhan dari kaum hawa ini, justeruadalah penting bagi kementerian untuk memberi tumpuan dengan lebih jelas lagi,” katanya.

Tambah beliau, antara komponen penting dalam agenda memacu perkembangan keusahawanan negara adalah dalam membentuk golongan muda yang mempunyai minat.

Katanya, golongan berkenaan akan diberi latihan dan bimbingan kerana belia adalah aset negara yang seterusnya akan membantu menerajui pembangunan negara dalam pelbagai sektor ekonomi.

Mengulas mengenai MED yang kini mencecah 100 hari, Hatta berkata, fokus kementeriannya adalah untuk meningkatkan sumbangan sektor keusahawanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ketika ini berada pada paras 37 peratus.

“Dalam merealisasikan hal ini, kita akan bekerjasama dengan mana-mana kementerian atau agensi kerajaan yang berkait dengan usahawan seperti MARA serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mempunyai usahawan dalam kalangan petani.

“Kita bukan bertindak secara sendirian, namun ia adalah usaha bersama sebagai satu pasukan dengan matlamat untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Antara agensi yang berada di bawah MED termasuklah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Maktab Koperasi Malaysia, Tekun Nasional, Bank Rakyat, SME Bank dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Manakala, status bagi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dijangka berada di bawah kementerian sama, namun masih belum terdapat kata putus mengenainya.

162 dibaca
Berita Harian X