Sabtu, 13 Oktober 2018 | 8:20pm
DATUK Seri Anwar Ibrahim yang memenangi PRK Parlimen Port Dickson hari ini, akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, pada Isnin ini. - Arkib NSTP
DATUK Seri Anwar Ibrahim bersama isteri yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson bagi mengikuti keputusan PRK Parlimen Port Dickson. - NSTP/Hazreen Mohamad
DATUK Seri Anwar Ibrahim bersama isteri yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson bagi mengikuti keputusan PRK Parlimen Port Dickson. - NSTP/Hazreen Mohamad
DATUK Seri Anwar Ibrahim memeluk isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas diisytiharkan memenangi PRK Parlimen Port Dickson. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Anwar angkat sumpah Isnin ini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini, akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada Isnin ini yang juga hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 bersidang.

Perkara itu disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, kepada wartawan NSTP menerusi WhatsApp, malam ini.

Keputusan rasmi PRK itu menunjukkan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu memperoleh 31,016 undi diikuti calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, mendapat 7,456 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas pula memperoleh 4,230 undi manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 82 undi.

Anwar, 71, layak bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lepas.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu pada 12 September lalu bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Ia adalah sebahagian daripada pelan PH bagi melantik Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat diadakan dalam tempoh lima bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berlangsung pada 9 Mei lalu.

Tiga PRK yang diadakan sebelum ini adalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu disusuli PRK DUN Seri Setia dan DUN Balakong pada 8 September lalu.

Semua PRK dimenangi calon daripada PH.


DATUK Seri Anwar Ibrahim. - NSTP/Aswadi Alias

Berita Harian X