Sabtu, 13 Oktober 2018 | 4:53pm
TIMBALAN Menterinya, Datuk Mohd Azis Jamman melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam. - Foto Aizat Sharif

Hukuman alternatif dikaji

BUKIT KAYU HITAM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin hukuman alternatif akan dikaji sebelum pemansuhan hukuman mati mandatori dilaksanakan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata kajian akan dilakukan di peringkat Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menentukan bentuk hukuman lain yang setimpal dengan hukuman mati mandatori.

“Saya berpandangan bahawa di peringkat menteri, akan ada satu kajian hukuman lain yang bakal menggantikan penangguhan atau pemansuhan hukuman mati mandatori ini.

“Sementara kita di peringkat kementerian sebagai pelaksana kepada setiap undang-undang yang digubal akan sentiasa akur dan mengikut kepada akta yang bakal digubal nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja dan tinjauan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dari Bukit Kayu Hitam sehingga ke Padang Besar di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio undang-undang mengumumkan bahawa kerajaan akan memansuhkan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan di negara itu.

Susulan itu, hukuman mati mandatori ke atas seramai 1,278 banduan akan ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Mohd Azis berkata, beliau percaya langkah itu diambil bersandarkan prinsip kemanusiaan yang seiring dasar kerajaan pada waktu ini yang berasa sudah tiba masanya hukuman berat berkenaan digantikan.

Berdasarkan perangkaan hingga 1 Oktober lalu, jumlah banduan yang menghuni penjara adalah seramai 59,245 iaitu 45,388 daripadanya adalah rakyat negara ini, manakala selebihnya iaitu 13,857 terdiri daripada warga asing.

Berita Harian X