Selasa, 9 Oktober 2018 | 2:15pm

Orang ramai ingin beri sumbangan kepada waris Wira Merah

KUALA LUMPUR: Orang ramai ingin memberi sumbangan kepada waris enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Puchong, minggu lalu, boleh menyalurkannya melalui cek serta tunai atau serahan secara terus.

Menurut Unit Komunikasi Korporat, Bahagian Pengurusan Korporat JBPM dalam satu kenyataan, hari ini, pihaknya menghargai dan berterima kasih atas keprihatinan orang awam yang memberi penghormatan serta mahu menghulurkan sumbangan kepada waris enam Wira Merah berkenaan.

“Sehubungan itu, mana-mana pihak yang berhasrat menghulurkan sumbangan kepada waris enam anggota terbabit, boleh berbuat demikian melalui cek atau tunai atas nama Akauntan Negara Malaysia-KPKT-T atau Bank Muamalat menerusi akaun 16010000876715.

“Selain itu, orang ramai boleh menyerahkan sumbangan secara terus di Ibu Pejabat JBPM di Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

Katanya, sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat, Ibu Pejabat JBPM Putrajaya, Siti Rohani Nadir melalui talian 013-248 8994 atau 03-8892 7652.

Sementara itu, pihaknya turut memaklumkan bahawa Majlis Penghargaan Wira Merah yang dijadualkan berlangsung di Dewan Sutera, Ibu Pejabat JBPM Putrajaya, esok, ditangguhkan.

Dalam kejadian 3 Oktober lalu, enam anggota PPDA, iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, daripada PPDA Pelabuhan Klang, serta Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 (PPDA Shah Alam), lemas ketika melakukan operasi SAR di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.

Susulan tragedi itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dilaporkan sebagai berkata enam anggota PPDA terbabit diiktibarkan sebagai syahid.

Zulkifli berkata, berita kematian mereka sangat menginsafkan dan memberi makna mendalam pada maksud pengorbanan dalam tugas.

40 dibaca
Berita Harian X