Isnin, 8 Oktober 2018 | 7:17pm
DR Mujahid (tengah) menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JAKIM dan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) di Cyberjaya, hari ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Komited lahirkan huffaz profesional

CYBERJAYA: Kerajaan komited dalam meneruskan usaha untuk melahirkan lebih ramai lagi golongan huffaz profesional di negara ini yang menguasai dua bidang iaitu al-Quran dan disiplin ilmu yang lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, dalam memastikan matlamat itu dicapai, ia sudah semestinya memerlukan kepada pemantapan kurikulum, pengawalan penaziran serta pentaksiran yang amat teliti.

“Justeru, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) antara lain diterjemahkan dengan integrasi tahfiz dengan pendidikan nasional serta memartabatkan huffaz yang menjadi sebahagian unsur elemen penting dalam menyumbang kepada pembinaan negara.

“Ini visi dan misi dalam Jabatan Perdana Menteri Bahagian Agama dari sudut tahfiz dan segala perkara berkaitan operasinya,” katanya berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan MoU ditandatangani oleh Presiden CUCMS, Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Razak mewakili institusi pengajian berkenaan manakala JAKIM diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau amat menyokong usaha JAKIM khususnya Darul Quran (DQ) dalam memperkasakan pendidikan tahfiz melalui kaedah kolaborasi bersama institusi pengajian tinggi yang lain.

Katanya, ia amat bertepatan dengan peranan DQ sebagai Ketua Teras Pengiktirafan dan Pensijilan khusus dalam bidang tahfiz sebagaimana dipertanggungjawabkan melalui DPTN.

Beliau berkata, sejak tahun 2000, JAKIM melalui DQ amat komited dalam melahirkan golongan huffaz profesional sesuai dengan kehendak dan keperluan ummah serta negara.

“Pada tahun 2000, DQ memulakan program huffaz profesional bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diikuti Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 2012 dan CUCMS yang menjadi institusi pengajian ketiga bekerjasama dalam menjalankan program berkenaan.

“Selepas hampir enam tahun pelaksanaannya, dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM kali ke-27, CUCMS berjaya melahirkan produk sulung mereka di mana seramai sembilan pelajar dianugerahkan Sijil Tahfiz Al-Quran JAKIM-CUCMS dan bakal bergelar doktor al-hafiz.

“Kejayaan ini bererti graduan Program Pensijilan Tahfiz al-Quran mencecah seramai 1,790 huffaz profesional, hasil kerjasama tiga institusi pengajian ini,” katanya.

59 dibaca
Berita Harian X