Isnin, 8 Oktober 2018 | 5:50pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP

SST alat penyapu lantai dikurangkan kepada lima peratus

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan memutuskan untuk mengurangkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi alat penyapu lantai daripada 10 peratus kepada lima peratus.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata keputusan yang dibuat bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu susulan maklum balas diterima dari pelbagai sektor perdagangan dan industri supaya kerja penambahbaikan ke atas peraturan dan panduan SST dapat dilaksanakan.

“Susulan daripada maklum balas, Kementerian Kewangan sudah menurunkan kadar cukai jualan terutamanya bagi setengah barangan yang digunakan oleh golongan yang kurang berkemampuan.

“Kementerian Kewangan bersama JDKM memutuskan untuk mengurangkan cukai jualan SST bagi alat penyapu lantai daripada 10 peratus kepada lima peratus, ini adalah lebih rendah daripada kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) enam peratus sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap peniaga tidak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan semata-mata kerana SST.

“Sebab peniaga mesti tahu bahawa SST adalah cukai seperingkat di mana cukai jualan hanya dikenakan sekali sahaja ke atas harga pengimportan atau pengilang.

“GST pula adalah cukai berperingkat dan cukai yang pengguna kena bayar adalah berdasarkan kepada harga peruncit (retail price) yang jauh lebih tinggi daripada harga pengimportan atau pengilang yang membayar SST.

“Beberapa penambahbaikan akan dijalankan oleh JKDM bulan ini bagi memudahkan peniaga dan memastikan SST tidak akan meningkatkan kos yang akhirnya akan ditanggung oleh pengguna,” katanya.

Selain itu, Guan Eng berkata, lebih 1,300 peniaga mengunjungi kaunter pertanyaan SST di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan, Kelana Jaya yang dibuka selama empat hari bermula Selasa minggu lalu.

Katanya, berikutan sambutan menggalakkan itu, operasi kaunter pertanyaan itu akan diteruskan untuk minggu ini dan selepasnya hingga segala kekeliruan mengenai pelaksanaan SST dapat dikurangkan kepada tahap yang memuaskan.

“Kita membuka 10 kios and 12 Kaunter Pertanyaan SST yang beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari selama empat hari berkenaan.

“Dua pegawai khas dari Pejabat Menteri Kewangan bersama dengan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menangani sebahagian besar daripada aduan, masalah dan pertanyaan berkenaan pelaksanaan dan dasar SST.

“Perkara yang tidak dapat diselesaikan di peringkat JKDM, sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.

26 dibaca
Berita Harian X