Khamis, 4 Oktober 2018 | 2:52pm
LORI 10 tan turut rosak sepenuhnya akibat dipukul tsunami di Palu.

MAPIM bakal sedia 2,000 khemah sementara, 10 tan makanan

PALU: Sebanyak 2,000 khemah sementara dan 10 tan bekalan makanan bakal disalurkan kumpulan misi bantuan kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kepada ribuan mangsa bencana gempa bumi dan tsunami yang menjadi pelarian kini.

Ketua Misi, Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, pihaknya serius dalam usaha membantu mangsa malapetaka itu dengan menghantar pasukan bantuan awal ke wilayah itu sejak Selasa lalu.


DR Ahmad Sani menyeru orang ramai terus menyalurkan bantuan bagi membantu puluhan ribu mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia.

Menurutnya, MAPIM yang juga pasukan bantuan Malaysia pertama tiba di wilayah itu melakukan tinjauan awal bagi membuat pemerhatian lokasi bencana serta keperluan mendesak rata-rata mangsa di sini.

"Kumpulan MAPIM ini membuat pemerhatian dan keadaan bantuan apa yang diperlukan oleh mangsa.

“Buat masa ini, sukarelawan ini akan bertindak untuk menggali perigi bagi mendapatkan punca air bersih bagi disalurkan kepada penduduk setempat.

"Selain itu MAPIM akan menyalurkan bantuan khemah selain keperluan dapur ummah untuk keperluan ramai mangsa," katanya.

Ahmad Sani berkata, pihaknya akan menghantar 10 guru, 15 doktor, 10 aktivis termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke lokasi bencana pada misi berikutnya 10 Oktober kelak.

"Setakat ini MAPIM berjaya mengutip sebanyak RM160,000 hasil sumbangan orang ramai sejak dua hari lalu. Diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia prihatin akan turut sama menyumbang serta membantu mangsa di sini," ujarnya.


KEADAAN tsunami di Palu.

Beliau berkata situasi di sini masih dalam keadaan kritikal dan ramai mangsa mengharapkan bantuan simpati termasuk dari rakyat Malaysia.

Setakat jam 1 tengah hari semalam, data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, memaklumkan jumlah mangsa yang disahkan terkorban akibat bencana gempa dan tsunami di sini mencecah 1,407 orang.

Lebih 30,000 penduduk terkesan teruk akibat gempa dan tsunami Jumaat lalu dan masih dilihat bermalam di jalanan dan bukit berhampiran.

Sumbangan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi boleh disalurkan kepada MAPIM Malaysia melalui www.billplz.com/RayuanSulawesi atau melalui akaun Maybank 5582 2060 5312.

Berita Harian X