Selasa, 2 Oktober 2018 | 9:08pm
LEE Lam Thye

PBT perlu proaktif elak tragedi lemas

KUALA LUMPUR: Kematian akibat lemas boleh dicegah jika semua agensi terbabit dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bersikap proaktif .

Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata dalam kebanyakan kes, PBT hanya akan mengambil tindakan apabila diarahkan oleh kerajaan negeri atau Persekutuan apabila berlakunya tragedi.

“Lebih menyedihkan aspek pemantauan dan tindakan susulan pula tidak dibuat dengan berkesan. Dalam insiden terbaru pada Ahad lepas, dua kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun lemas ketika berenang di Lagun Boardwalk Setiu, Terengganu.

“Ia adalah kes lemas kedua dalam tempoh dua bulan di kawasan berkenaan yang popular dalam kalangan mereka yang mencari kepah.

“Amat malang apabila kawasan itu tidak disenaraikan sebagai kawasan berisiko tinggi untuk kes lemas,” katanya dalam satu kenyataan kepada NSTP, hari ini.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sudah mengenal pasti 12 lokasi di seluruh negara sebagai kawasan berisiko tinggi kejadian lemas.

“Lokasi di Selangor ialah Sungai SKC Kampung Timah, Sungai Tinggi, Sungai Gasi di Sungai Buloh, Sungai Chiling, Kuala Kubu Baru, Air Terjun Sungai Sendat, Ulu Yam dan Empangan Semenyih.

“Kawasan berisiko tinggi lain ialah Sungai Kampung Batu Payung Tawau, Sabah; Sungai Kampung Sabak Pengkalan Chepa, Muara Tok Bali, Pasir Puteh dan Pantai Nipah Bachok, Kelantan; Air Terjun Lata Berembun Raub, Pahang; Air Terjun Chamang, Bentong serta Teluk Bahang Batu Feringgi, Pulau Pinang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan lebih banyak kawasan insiden lemas disenaraikan supaya tindakan pencegahan boleh diambil bagi mengurangkan bilangan kes itu.

PBT yang mempunyai bidang kuasa ke atas aktiviti air mesti diarahkan mengambil langkah drastik bagi mengelak kejadian lemas seperti melakukan audit yang lebih kerap di kawasan terbabit, meletakkan papan tanda amaran yang mencukupi di zon bahaya dan memagar lombong terbiar.

“Mereka juga harus menggunakan papan tanda keselamatan seragam yang dibangunkan oleh Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) yang dikenali sebagai ISO 20712-1: 2008.

“Papan tanda amaran itu perlu dipasang di tempat strategik bagi mengingatkan orang ramai tentang bahaya lemas manakala papan tanda yang rosak atau menjadi mangsa vandalisme perlu diganti serta-merta,” katanya.

Menurut beliau, PBT juga perlu menyediakan anggota penyelamat di pantai tumpuan ramai dan menyediakan pelan tindakan pantas membabitkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) JBPM, polis dan pihak berkuasa berkaitan sekiranya berlaku kecemasan.

“Kerajaan juga harus mewajibkan PBT meletakkan alat pengapungan peribadi (PFD) di lokasi berisiko tinggi dan bot rekreasi untuk kegunaan ketika kecemasan.

“PFD tidak semestinya mahal. Ada negara yang sudah menggunakannya dan ia berkesan, murah dan tidak mudah dirosakkan.

“Ia juga boleh dibuat dengan mengitar semula bekas air plastik terbuang. Ibu bapa dan orang dewasa pula perlu sentiasa mengawal dan mengawasi anak mereka atau kanak-kanak lain yang terbabit dengan aktiviti air,” katanya.

Berita Harian X