Selasa, 2 Oktober 2018 | 12:33pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

MED tubuh pusat sehenti, talian bebas tol bantu usahawan

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) melancarkan Pusat Sehenti Keusahawanan (PSK) dan talian bebas tol sebagai pemudahcara dalam memberi khidmat nasihat kepada usahawan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof, berkata pusat berkenaan akan berperanan sebagai pemudahcara, membantu dan memberi galakan kepada usahawan, sekali gus menyokong pembangunan golongan itu di Malaysia.

Beliau berkata, PSK MED yang akan ditubuhkan di seluruh negara juga akan berperanan sebagai pusat penyimpanan data, mengumpul maklum balas dan aduan daripada usahawan serta bakal usahawan.

“Pelaksanaan PSK itu akan membabitkan sumber sedia ada daripada pelbagai agensi di bawah MED, termasuk SME Corp, SME Bank, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional).

“Selain itu, Bank Rakyat, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), UDA Holdings, Maktab Koperasi Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Sistem Sokongan Elektronik Perlesenan Perniagaan (BLESS) serta Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan.

“Ini bagi memudahkan orang ramai terutama usahawan mendapatkan maklumat terkini mengenai program atau pembiayaan yang ditawarkan pelbagai agensi.

“Antara pertanyaan dan aduan paling kerap diterima kementerian ini adalah berhubung sumber kewangan selain sokongan pembangunan kapisiti usahawan.

“Jadi, kita buka talian bebas tol ini serta PSK untuk memudahkan penyaluran maklumat dan pengumpulan data,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga MED, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan PSK dan talian bebas tol PSK MED.

Talian Bebas Tol PSK MED (1300881020) beroperasi sepenuhnya bermula 28 September lalu. Ia beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Mohd Redzuan mahu warga MED memartabat dan memperkasakan bahasa kebangsaan.

“Tahun ini, adalah tahun ke-19 Bulan Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), justeru sebagai penjawat awam yang perlu memartabat dan memperkasakan bahasa kebangsaan, saya ingin menyeru supaya kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan dipertingkatkan sepanjang bulan ini di kementerian ini untuk menyemarakkan lagi penggunaannya dalam kalangan kita,” katanya.

86 dibaca
Berita Harian X