Isnin, 1 Oktober 2018 | 3:19pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Maszlee jumpa Mujahid bincang berkaitan pusat tahfiz

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan dijangka mengadakan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini, bagi memperhalusi garis panduan menyelia dan mengendalikan pusat tahfiz di seluruh negara.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya komited untuk memastikan semua tahfiz dapat berfungsi sebaiknya dalam menyediakan pendidikan dan pada masa sama bebas daripada sebarang masalah termasuk isu kebajikan dan keselamatan pelajarnya.

“Cadangan untuk mengetatkan garis panduan menyedia pusat tahfiz adalah cadangan Dr Mujahid, bukan Kementerian Pendidikan.

“Saya akan berbincang dengan beliau dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu ini,” katanya ringkas.

Beliau diminta mengulas perkembangan perbincangan pihaknya dengan Mujahid berkaitan perkara itu seperti dilaporkan media sebelum ini ketika ditemui media selepas melancarkan Forum Sarjana Syariah Antarabangsa ke-13 (ISSF 2018), di sini, hari ini.

Isu kawal selia pusat tahfiz timbul susulan kejadian seorang pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong, yang dipercayai meliwat dan mencabul sembilan pelajar lelakinya.

Dalam pada itu, Maszlee menyeru semua pusat tahfiz di negara ini mengikuti kurikulum kebangsaan supaya setiap pelajar mendapat input pendidikan lebih tersusun.

Katanya, menjadi hasrat kementerian supaya tumpuan kepada pendidikan akademik diberikan kepada rakyat negara ini.

“Seperti saya sebutkan banyak kali, kita menyeru semua pusat tahfiz ini mesti ikut kurikulum pendidikan kebangsaan.

“Jika mereka nak wujudkan tahfiz berasrama misalnya, kalau boleh (pelajarnya) dihantar ke sekolah harian. Di luar waktu sekolah harian, nak hafaz al-Quran tidak apa.

“Waktu sekolah, kita mahu mereka belajar di sekolah harian supaya dapat input-input dan pendidikan lebih tersusun,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Maszlee mengulangi gesaan supaya semua tahfiz yang belum berdaftar dengan kementerian, segera melakukannya di bawah kategori swasta.

“Jika tak daftar kita dapati banyak risiko terpaksa mereka hadapi seperti isu keselamatan, pendidikan dan kebajikan,” katanya.

Kepada soalan mengenai mekanisme baru untuk pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Maszlee menegaskan pihak sedang mengujinya dan ada perkembangan positif.

“Tunggulah, masa sesuai kita akan keluarkan kenyataan rasmi mengenainya,” katanya.

Berita Harian X