Isnin, 1 Oktober 2018 | 3:12pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan Tahun 2018 di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Sasar 11,000 kaunselor menjelang 2020

PUTRAJAYA: Kerajaan mensasarkan untuk melahirkan 11,000 kaunselor profesional menjelang 2020 bagi memastikan ia mencukupi untuk mendepani masalah sosial yang semakin rumit pada hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sasaran itu akan mengecilkan nisbah seorang kaunselor bagi 2,945 penduduk berbanding seorang kaunselor bagi setiap 4,030 penduduk pada masa ini.

Tambah beliau, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, peranan kaunselor dan perkhidmatan kaunseling kini dilihat satu keperluan penting terutama dalam keadaan masyarakat yang berhadapan dengan pelbagai tekanan hidup.

“Setakat 31 Ogos lalu, terdapat 8,039 kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor. Nisbah ini masih terlalu besar untuk mendepani masalah sosial yang semakin rumit justeru, kami sasarkan untuk melahirkan 11,000 kaunselor menjelang 2020.

“Oleh itu, saya menyeru setiap kaunselor supaya berdaftar dengan Lembaga Kaunselor selain meningkatkan kemahiran melalui program pembelajaran profesional berterusan supaya lebih ramai rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kaunseling ini,” katanya selepas melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan Tahun 2018 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, Kajian Kesihatan dan Morbitidi Kebangsaan 2015 oleh Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia berusia 16 tahun ke atas adalah 29.2 peratus atau kira-kira 4.2 juta orang.

“Ia bermakna satu dalam tiga penduduk Malaysia mengalami isu yang berkait dengan masalah mental.

“Skop kesihatan remaja menunjukkan remaja berdepan perasaan cemas sebanyak 39.7 peratus diikuti kemurungan (18.3 peratus) dan tekanan (9.6 peratus). Itu adalah antara tiga penyakit mental utama dalam kalangan remaja di sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Lembaga Kaunselor juga membangunkan satu Garis Panduan Perkhidmatan Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan sebagai rujukan untuk mengendalikan isu dalam keluarga seperti penderaan, keganasan rumah tangga, perceraian, pengabaian dan sebagainya.

“Garis panduan ini akan membantu kaunselor berdaftar memberikan perkhidmatan kaunseling yang terbaik untuk masyarakat. Ia penting supaya permasalahan keluarga dapat ditangani seawal krisis pada peringkat akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, Lembaga Kaunselor turut mewujudkan Tabung Ihsan Waris Kaunselor Berdaftar sebagai menghargai kaunselor berdaftar yang meninggal dunia untuk menjaga kebajikan warisnya.

“Sebagai permulaan, Lembaga kaunselor akan menyumbang RM10,000 kepada tabung ini dan setiap waris akan menerima bantuan sebanyak RM1,500,” katanya.

Berita Harian X