Ahad, 30 September 2018 | 1:51pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Asyraf Hamzah

Kaunter pertanyaan SST mulai 2 Oktober

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuka kaunter pertanyaan berhubung Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Kompleks Kastam, Wilayah Persekutuan, Kelana Jaya mulai Selasa ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata dua pegawai daripada Pejabat Menteri Kewangan, iaitu akauntan bertauliah, Datuk Ooi Kok Seng dan bekas Ketua Pegawai Kewangan syarikat antarabangsa, Toh Yen Kee turut hadir bagi menangani sebarang aduan, pandangan dan pertanyaan daripada orang ramai berhubung SST.

“Mereka akan bersama-sama membantu orang awam sehingga bilangan aduan berhubung SST berkurangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kehadiran kedua-dua pegawai khas Menteri Kewangan itu membolehkan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor perdagangan dan industri memberikan sebarang maklum balas mahupun aduan berhubung pelaksanaan SST.

Kaunter pertanyaan akan beroperasi setiap minggu, Isnin sehingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari dengan 10 kiosk dan 12 kaunter akan dibuka.

Guan Eng berkata setakat ini sebanyak 18 sesi taklimat soal jawab SST diadakan di seluruh negara dengan dihadiri lebih 15,000 peserta.

“Selepas menerima maklum balas daripada peserta, kementerian bersama JKDM memutuskan untuk menurunkan kadar SST daripada 10 peratus kepada lima peratus untuk tayar pneumatik dan motosikal elektrik,” katanya.

Berita Harian X