Ahad, 30 September 2018 | 1:01pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Mendaya Komuniti di PPR Lembah Subang 2, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Dasar Komuniti Negara akhir tahun ini

PETALING JAYA: Dasar Komuniti Negara yang antaranya bagi menangani masalah komuniti setempat khususnya di kawasan perumahan kos rendah akan dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, dasar yang masih dalam proses penggubalan itu antaranya memberi tumpuan terhadap masalah berbangkit di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Menerusi Dasar Komuniti Negara, anggota komuniti akan digerakkan supaya mempunyai kesedaran dan prihatin terhadap harta benda, ruang serta kemudahan yang dikongsi bersama masyarakat setempat.

“Ini kerana, pada 2017, kerajaan membelanjakan sebanyak RM49.6 juta bagi membaik pulih rumah kos rendah dan sederhana rendah termasuk PPR di seluruh negara.

“Selain itu, dasar ini juga akan membantu membentuk komuniti yang lebih peka dengan isu sosial dalam masyarakat, menyemai sifat saling menghormati, menyayangi dan saling bekerjasama antara jiran tetangga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Mendaya Komuniti di PPR Lembah Subang 2, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Mohammad Mentek; Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, Dasar Komuniti Negara bukanlah perkara baharu kerana Singapura menubuhkan Majlis Pembangunan Komuniti sejak 1997 bagi memperkasakan dan menjalinkan hubungan serta memupuk perpaduan antara komuniti.

Justeru, katanya KPKT mengadakan Program Mendaya Komuniti, projek rintis di bawah dasar itu bagi membentuk masyarakat yang sepakat dalam menangani isu semasa yang menjejaskan kesejahteraan kehidupan.

Beliau berkata, untuk permulaan KPKT juga akan meletakkan 20 pegawai kementerian itu menerusi Sekretariat Muafakat Komuniti di PPR Lembah Subang 2 selama sebulan bagi membantu melatih komuniti setempat dalam menguruskan penyelenggaraan, pengurusan kewangan, aspek keselamatan, kesejahteraan dan sebagainya.

“Selepas ini, program seumpama itu akan diadakan di PPR Sentul Murni dan di Kota Bharu sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

“Ia rentetan beberapa insiden tidak diingini berlaku di kawasan perumahan PPR sejak kebelakangan ini seperti terbaru, kes seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang maut akibat terjatuh dari tingkat 17 PPR Kota Damansara selepas ditinggalkan berseorangan di rumah,” katanya.

Berita Harian X