Sabtu, 29 September 2018 | 12:16pm
Sepanduk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa hari penamaan calon di Port Dickson. - Foto EPA

Pertandingan 7 penjuru bukti demokrasi sihat - PM

NEW YORK: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pertandingan tujuh penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson adalah satu perkembangan demokrasi yang baik di Malaysia.

“Ini (Malaysia) adalah negara demokrasi, justeru anda boleh menjangkakan (pertandingan banyak penjuru) dalam pilihan raya.

“Ramai calon yang bertanding adalah normal. Mungkin ada yang beranggapan, pilihan raya sepatutnya hanya membabitkan pertandingan antara dua parti tetapi untuk melaksanakannya adalah sesuatu yang tidak demokrasi,” katanya.

Perdana Menteri yang dalam lawatan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini, berkata demikian ketika mengulas perkembangan proses penamaan calon PRK Port Dickson hari ini yang menyaksikan persaingan tujuh penjuru pada pengundian pada 13 Oktober ini.

Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.

Walaupun pada Selasa lalu Barisan Nasional (BN) mengumumkan pendirian memboikot PRK itu dengan alasan ia suatu pembaziran, namun Anwar yang turun sebagai calon pilihan di bawah logo Pakatan Harapan, perlu mendepani cabaran daripada wakil PAS serta lima calon Bebas lain.

Selain PAS yang diwakili Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, lima calon Bebas ialah bekas Menteri Negeri Sembilan Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Samad; Stevie Chan; Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada PRU-14 lalu, Danyal Balagopal yang bertanding menggunakan logo PKR, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN, Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Berita Harian X