Khamis, 27 September 2018 | 8:12pm
NOORSILA meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira jam 4 petang hari ini akibat kanser usus. - NSTP

Bekas wartawan sambilan NSTP meninggal dunia

PUTRAJAYA: Bekas wartawan sambilan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) Putrajaya, Noorsila Abd Majid, 48, meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira jam 4 petang hari ini akibat kanser usus.

Anak saudaranya, Nurul Amira Azuddin berkata, Allahyarhamah yang juga Ketua Komunikasi Korporat, Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), dimasukkan ke hospital berkenaan sejak dua minggu lalu dan sudah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di ususnya.

“Cik B (nama panggilan untuk Noorsila) sebelum ini pernah mengadu sakit perut dan gastrik, jadi kami membawanya untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Pada akhir Julai lalu, doktor mengesahkan ada ketumbuhan sebesar 10 sentimeter (cm) di ususnya dan ia perlu dibuang segera.

“Selepas dibedah pada 14 September lalu, baru semalam Cik B dikeluarkan daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dimasukkan ke wad biasa.

“Dia nampak semakin sihat, malah sempat minta saya untuk buatkan air milo kerana dia nak sangat minum air milo tapi saya tidak bagi kerana dia baru menjalani pembedahan.

“Saya juga tidur di wad untuk menemaninya malam tadi. Saya tidak sangka dia pergi meninggalkan kami hari ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Kajang malam ini dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungai Kantan, Kajang, pagi esok.

Allahyarhamah juga pernah menyertai sesi kesembilan Skim Latihan Kewartawanan Pra Pengambilan (PETS) bagi akhbar Berita Harian sekitar tahun 1997.

146 dibaca
Berita Harian X