Rabu, 26 September 2018 | 6:43pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

16 sesi taklimat SST dijalankan seluruh negara

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah mengadakan 16 sesi taklimat dan soal jawab Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di seluruh negara sejak rejim cukai itu dilaksanakan 1 September lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata sesi berkenaan berjaya menarik seramai lebih 13,000 peserta dari pelbagai sektor industri dalam negara.

Beliau berkata, usaha itu juga membuahkan hasil di mana pihak berkepentingan sektor perdagangan dan industri memberi maklum balas dan rayuan mengenai pengecualian SST ataupun pengurangan kadar cukai jualan untuk pelbagai barangan.

“Kementerian Kewangan bersama JKDM sudah meneliti segala maklum balas dan rayuan ini dan membuat keputusan untuk mengecualikan barangan daripada dikenakan cukai SST.

“Antaranya kad prabayar untuk telefon bimbit yang digunakan oleh rakyat Malaysia, kacang tanah, komponen CKD import oleh pemasang kereta francais tempatan, ikan masin/kering (ikan masin, ikan perkasam, ikan jeruk dan ikan masam).

“Makanan laut di dalam kategori crustacean dan mollusk HS code, pewter, beg plastik untuk pembungkusan beras, rokok dan produk tembakau yang dijual di restoran, sewa ruang pejabat di dalam restoran, kapal, feri dan bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun kerajaan sudah mengecualikan kad prabayar untuk telefon bimbit yang digunakan oleh rakyat Malaysia, masih ada pengguna yang tersalah anggap bahawa cukai perkhidmatan dikenakan terhadap kad prabayar ini.

“Oleh itu, kerajaan menggesa syarikat telekomunikasi, melalui kedai jualan dan edaran mereka, untuk memaklumkan kepada pelanggan bahawa kad prabayar untuk telefon bimbit yang digunakan oleh rakyat Malaysia adalah dikecualikan daripada SST,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan juga sudah mempertimbangkan rayuan pengendali restoran di mana nilai ambang pendapatan restoran dan kedai makan mereka dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta setahun sebagai langkah untuk meringankan beban rakyat.

“Kelonggaran tambahan juga diberikan dengan mengeluarkan hasil jualan rokok, kertas tisu dan sewaan daripada warung kecil daripada dimasukkan dalam pengiraan nilai ambang restoran dan kedai kopi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sudah membuat penyemakan semula kadar cukai jualan terhadap beberapa barangan daripada 10 peratus kepada lima peratus.

“Ia membabitkan barangan kosmetik, produk kecantikan dan penjagaan kulit, aksesori telefon bimbit, jam, tayar celup, tayar dan tiub motosikal.

“Kerajaan berharap perubahan ini dapat menambah baik kesejahteraan rakyat dan selari dengan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

31 dibaca
Berita Harian X