Selasa, 25 September 2018 | 11:51am
JASNI Md Kechik

Jangan jadikan UPSR tekanan kepada murid

JERANTUT: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) bersetuju dengan saranan Kementerian Pendidikan (KPM) bahawa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bukan suatu peperiksaan di peringkat persijilan berprestasi tinggi.

Presiden KGMMB, Jasni Md Kechik, berkata sebaliknya UPSR adalah pengukur titik menilai pencapaian murid dalam literasi, numerasi dan penaakulan matematik yang lebih cenderung kepada perkembangan murid khususnya di peringkat sekolah rendah.

Beliau berkata,saranan kementerian itu bertepatan kerana murid sekolah rendah perlu diberi peluang mengembangkan potensi diri masing-masing denganilmu yang diajar selama enam tahun tanpa tekanan melalui peperiksaan.

"Semua pihak terutamanya guru perlu faham hasrat kementerian supaya tidak melakukan pelbagai program yang keterlaluan hingga memberi tekanan. Malah terdapat programmemperlihatkan minda guru masih tidak berubah memberi tekanan kepada murid menghadapi UPSR.

"Lawatan pegawai kementerian, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan menteritidak perlu menjadi keutamaan, beri peluang pihak sekolah mentadbir ujian ikut peraturan serta tidak menekan pihak sekolah dengan menganjurkan pelbagai program," katanya di sini, hari ini.

Jasni berkata, fokus utama kementerian ke atas UPSR adalah untuk melihat tahap penguasaan minimum murid setelah melalui pembelajaran selama enam tahun di peringkat rendah.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Anuar Husin turut bersetuju dengan hasrat kementerian itu supaya dapat mengembalikan zaman persekolahan yang menyeronokkan di fasa kanak-kanak.

"Tumpuan kepada perkembangan potensi murid secara holistik sesuai dengan keperluan tumbesaran kanak-kanakserta menyemai perasaan kasih sayang serta saling hormat menghormati di samping memberi pendidikan berkaitan sahsiah dan jati diri.

"Diharapkan pihak kementerian menggunakan semua instrument sedia ada seperti Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) , Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Pentasiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), psikometrik selain keputusan UPSR bagi menentukan kemasukan dan pemilihan ke sekolah berasrama penuh atau sekolah harian cemerlang," katanya.

Katanya, perkara itu membolehkan pendidikan rendah yang dikenali sebagai fasa perkembangan murid dapat direalisasikan dan lebih memberi keseronokan sesuai dengan perkembangan kanak-kanak.

Berita Harian X