Selasa, 18 September 2018 | 10:36pm
TUN Dr Mahathir Mohamad menyampaikan anugerah francais terbaik kepada Ketua Pegawai Eksekutif GlobaArt, Mahair Goh ketika majlis Anugerah Francais Malaysia di Putrajaya, turut kelihatan Saifuddin Nasution Ismail dan Radzali Hassan (kiri). - Foto Mohd Fadli Hamzah

Nasi lemak, dim sum, tosei dalam industri francais

PUTRAJAYA: Nasi lemak, dim sum dan tosei antara makanan yang berpotensi untuk diperluaskan jualannya menerusi sistem francais, sekali gus boleh dipasarkan ke seluruh dunia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata belum banyak produk keluaran di negara ini yang diperluaskan melalui sistem francais dan usahawan disaran merebut peluang dengan menerokai industri itu.

"Di Malaysia belum banyak makanan dan barangan yang dikeluarkan oleh kita difrancaiskan, jadi masih ada peluang untuk mengenal pasti jenis kedai supaya dikembangkan secara francais.

"Kita mempunyai tiga kaum besar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India dengan pelbagai makanan yang sedap, (tetapi) kita belum dapat lihat francais yang besar dalam penjualan makanan seperti nasi lemak, dim sum dan tosei.

"Jika (makanan) ini dipasarkan menerusi francais, saya yakin di merata dunia akan kita dapat lihat penjualan nasi lemak, dim sum dan tosei," katanya berucap pada Majlis Anugerah Francais Malaysia di sini, malam ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia Datuk Radzali Hassan.

Pada majlis berkenaan, Dr Mahathir menyampaikan trofi dan sijil kepada wakil Global Art & Creative Sdn Bhd yang diumumkan sebagai pemenang Anugerah Francais Terbaik 2018.

Selain itu, wartawan Berita Harian, Mohd Alzahrin Alias dari Meja Ekonomi turut menerima trofi dan sijil bagi penghargaan khas media disampaikan oleh Saifuddin Nasution.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kurang pengetahuan dan kefahaman mengenai pengurusan francais menjadi faktor produk makanan dan barangan dari Malaysia belum diperluaskan melalui sistem itu seperti McDonald’s dan Starbucks serta jenama besar yang lain.

"Justeru, saya berharap mereka yang memenangi anugerah pada malam ini akan memikirkan mengenai perkara ini.

"Kemenangan ini juga adalah langkah baik dalam usaha mengembangkan sistem francais supaya mereka yang tidak mengetahui mengenai perniagaan boleh menceburinya," katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, industri francais turut menyumbang kepada ekonomi negara.

"Saya berharap kita akan lihat banyak lagi makanan dan barangan akan difrancaiskan ke seluruh negara seterusnya ke luar negara," katanya.

Berita Harian X