Ahad, 16 September 2018 | 11:59am
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Puan Sri Jamilah Anu. - Foto Nadim Bokhari

Impian Tok Nan lihat 'Anak Sarawak' berjaya

LUNDU: Penubuhan Yayasan Sarawak terbukti mencapai objektifnya, terutama dalam konteks memperkasakan pendidikan anak negeri sejak lebih 30 tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Puan Sri Jamilah Anu, berkata ia seiring hasrat kerajaan negeri melahirkan golongan cerdik pandai, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar di Sarawak.

“Kita memiliki ramai ‘Anak Sarawak’ yang cemerlang dalam pelajaran dan berpotensi untuk pergi lebih jauh, namun berdepan pelbagai kekangan, khususnya dalam konteks kewangan.

“Dalam hal inilah, kita bersyukur kerana memiliki Yayasan Sarawak yang menyediakan pelbagai bantuan kewangan, termasuk kemudahan biasiswa untuk anak-anak menyambung pelajaran dan pengajian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Yayasan Sarawak di Sekolah Kebangsaan (SK) Stunggang Melayu, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Sarawak, Azmi Bujang; Pengerusi PIBG SK Stunggang Melayu, Ramli Hassan dan Penolong Kanan Akademik SK Stunggang Melayu, Jamadil Eri.

Jamilah berkata, menjadi impian arwah suaminya, Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan, untuk melihat lebih ramai ‘Anak Sarawak’ berjaya dalam pelbagai bidang, seterusnya menyumbang semula kepada kemajuan negeri.

Malah, katanya, Tok Nan sentiasa percaya hanya dengan memiliki pendidikan yang baik, ‘Anak Sarawak’ mampu mengubah nasib mereka dan keluarga masing-masing.

“Arwah Tok Nan cukup berdedikasi membangunkan Yayasan Sarawak hingga ke tahap apa yang dilihat hari ini, malah berupaya menawarkan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada rakyat Sarawak.

“Yayasan Sarawak akan terus komited membantu pelajar Sarawak dari pelbagai kaum dan latar belakang. Bantuan diberi bukan hanya berbentuk biasiswa dan pinjaman, bahkan peralatan sekolah serta geran, selain penganjuran bengkel strategi menghadapi peperiksaan,” katanya.

Jamilah turut berbangga kerana Yayasan Sarawak muncul sebagai badan seumpamanya yang aktif di negara ini membantu rakyat.

“Tahun lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sematan mendapat bantuan Yayasan Sarawak disusuli SK Stunggang Melayu tahun ini. Kita amat menghargai bantuan Yayasan Sarawak yang memainkan peranan penting memberi pendedahan kepada pelajar kita terhadap bidang komunikasi dan teknologi maklumat (ICT).

“Bila mereka mahir menggunakan komputer secara tidak langsung akan memudahkan mereka dalam berkomunikasi, berniaga dalam talian, memproses dan menyimpan data serta memperoleh pelbagai maklumat dengan mudah jika digunakan secara betul,” katanya.

Pada majlis sama, 10 unit komputer diserahkan untuk membantu pihak sekolah dalam mendidik serta mendedahkan pelajar kepada penggunaan ICT, selain mempelbagaikan kaedah pembelajaran.

39 dibaca
Berita Harian X