Sabtu, 15 September 2018 | 9:44am
NOR Hisham Mohamad menyampaikan amanat kepada anggotanya pada majlis ringkas di Ibu Pejabat JBPM Sarawak, Kuching. - Foto Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat

Tragedi helikopter terhempas segar dalam ingatan

KUCHING: Tragedi helikopter terhempas di Sungai Batang Lupar pada 5 Mei 2016, menjadi pengalaman paling mencabar sepanjang tujuh tahun berkhidmat di negeri ini bagi bekas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Nor Hisham Mohamad.

Nor Hisham, 46, berkata kejadian itu sukar dilupakan dan pastinya menjadi kenangan sepanjang hayat kerana antara mangsa yang terbabit adalah individu penting dalam pentadbiran negara.

Kejadian ketika kempen Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) itu mengorbankan enam individu termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khai-ril Anuar Wan Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai.

"Kejadian itu banyak mengajar perkara baharu antaranya mengkoordinasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang membabitkan pelbagai agensi.

"Ia juga menuntut kita bijak membuat percaturan strategi kawalan insiden serta penyampaian maklumat terkini kerana orang ramai sentiasa menantikan perkembangan operasi," katanya yang akan berpindah ke Pahang untuk mengetuai JBPM di negeri berkenaan.

Kekosongan yang ditinggalkan Nor Hisham yang berkhidmat di Sarawak sejak Jun 2011 akan diisi oleh anak Sarawak, Khirudin Drahman, yang kini Pengarah JBPM Kuala Lumpur.

Nor Hisham berkata, selain tragedi helikopter terhempas itu, banyak perkara baharu dipelajarinya sepanjang tempoh bertugas di Sarawak.

Ia termasuk insiden bot ekspres karam di Belaga pada 28 Mei 2013 yang menggemparkan negara apabila bot berkapasiti 64 penumpang itu membawa seramai 222 penumpang ketika kejadian.

Berikutan jumlah penumpang yang terlalu ramai, operasi dilaksanakan bagi mengapungkan bangkai bot berkenaan yang terdampar di dasar Sungai Rejang yang arusnya terlalu deras kerana dikhuatiri ada yang terperangkap di dalam bot.

"Cabaran utama ketika itu ialah kita perlu kekal dengan apa yang kita rasa keputusan terbaik (untuk melaksanakan operasi pengapungan)," katanya Nor Hisham.

Apabila operasi berkenaan ditamatkan tiga minggu kemudian, hanya tiga penumpang disahkan terkorban, namun bagi Nor Hisham, operasi itu antara yang akan dikenangnya sepanjang berkhidmat dengan JBPM.

Selain itu, cabaran lain yang dilaluinya di Sarawak ialah masalah kebakaran rumah panjang yang apabila berlaku akan menyebabkan ratusan penghuni akan hilang tempat tinggal.

38 dibaca
Berita Harian X