Jumaat, 14 September 2018 | 5:40pm
MENTERI Pangangkutan, Anthony Loke Siew Fook bersalaman dengan tetamu jemputan di Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kelulusan (STK) Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang berlangsung di Pusat Informasi Islam (IIC) di Kuching. - Foto Jannah Kho

Menteri arah sita kereta sapu sempadan Tebedu-Entikong

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah memperhebatkan aktiviti penguatkuasaan termasuk menyita kenderaan negara jiran yang terbabit dalam kegiatan kereta sapu di pintu sempadan Tebedu- Entikong, Serian.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata hanya menerusi penguatkuasaan kerap sahaja mampu melumpuhkan kegiatan kereta sapu terbabit, selain bertujuan menjaga periuk nasi pengusaha kereta sewa tempatan yang berdepan penyusutan penumpang sejak sekian lama.

“Masalah kereta sapu ini berlaku di seluruh negara, di mana sahaja ia berlaku, kita akan minta menambah penguatkuasaan. Kereta sapu bukan termasuk dalam e-panggilan, malah menyalahi peraturan kawal selia kenderaan yang terbabit dalam perdagangan.

“Tidak kira sama ada kereta sapu tempatan atau daripada negara jiran, kita akan lakukan penguatkuasaan termasuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Imigresen Sarawak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kelulusan (STK) Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, di Pusat Informasi Islam, di sini hari ini.

Pada 16 Oktober tahun lalu, akhbar ini membuat pendedahan kegiatan kereta sapu negara jiran atau lebih dikenali sebagai ‘Kijang Sapu’ beroperasi di pintu sempadan Tebedu-Entikong.

Bagaimanapun, laporan kegiatan itu tidak mendapat perhatian agensi penguat kuasa sehingga kereta sapu negara jiran masih bebas beroperasi.

Kegiatan terbabit membawa pulangan lumayan sehingga ada antara warga asing berkenaan mampu membeli secara tunai kereta kompak tempatan untuk digunakan mengangkut penumpang secara haram di pintu sempadan terbabit, sebagai cara memperdaya anggota penguat kuasa daripada menangkap mereka.

Sementara itu, Siew Fook, berkata seorang individu akan dilantik secara tetap untuk menjadi Pengerusi LKPP Sarawak, yang kini jawatan berkenaan dipangku Pengarah JPJ Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah.

“Saya memohon maaf kepada 755 pemohon lesen LPKP yang tidak diluluskan lesen mereka kerana ketiadaan mesyuarat akibat ketiadaan pengerusi untuk mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga bagi meluluskan permohonan yang tertunggak selama tiga bulan,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bertanggungjawab melantik Pengerusi LPKP bukan sahaja di negeri ini, malah di Sabah.

“LPKP Sarawak dan LPKP Sabah diserap masuk di bawah Kementerian Pengangkutan yang sebelum ini mereka berada di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Berita Harian X