Jumaat, 14 September 2018 | 1:58pm
TUN Datuk Seri Zaki Tun Azmi pada Seminar Pengasingan Kuasa Di Mana Garisan Neutraliti Penjawat Awam? di Auditorium Intan, Bukit Kiara. - Foto Aziah Azmee

Syor laksana dasar pemberian maklumat

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan dasar pemberian maklumat atau ‘whistleblowing’ supaya konflik salah laku dalam kalangan penjawat awam dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, berkata dasar berkenaan perlu dirangka secara terperinci supaya hak pemberi maklumat dapat dilindungi.

“Ketua Setiausaha (KSU) atau Ketua Setiausaha Negara (KSN) perlu buat keputusan untuk merangka dasar dan pelaksanaannya.

“Dasar ini dapat menentukan bagaimana cara untuk membuat laporan salah laku dan bagaimana cara yang akan kita guna untuk melindungi pemberi maklumat.

“Kita suruh syarikat swasta buat (dasar), tetapi kenapa kerajaan tak buat?,” soalnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah sempena Seminar Pengasingan Kuasa: Di Mana Garisan Neutraliti Penjawat Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata identiti pemberi maklumat tidak boleh didedahkan kecuali ia adalah palsu.

“Kalau selepas siasat dan maklumat yang diberi itu betul, maka ambillah tindakan terhadap orang yang diadukan itu.

“Paling penting, memang sudah menjadi kewajipan bagi setiap penjawat awam untuk melaporkan salah laku yang berlaku kepada pihak atasan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zaki berkata, penjawat awam perlu mematuhi dasar kerajaan, bukannya dasar parti.

Katanya, setiap penjawat awam mesti memahami perbezaan antara kerajaan dan parti yang mentadbir kerajaan.

“Kita sokong kerajaan dan kena ikut dasar ‘bos’ baharu, bukan ikut dasar parti, malah cara pemikiran juga perlu ditukar.

“Kalau nak jadi ahli politik, jangan jadi penjawat awam. Kalau nak jadi penjawat awam, tapi nak bantu parti politik yang kita sokong, itu tak betul,” katanya

22 dibaca
Berita Harian X