Jumaat, 14 September 2018 | 12:13pm
ZURAIDA Kamaruddin ketika sidang media selepas melawat tempat kejadian seorang kanak kanak yang jatuh dari tingkat 17 di PPR Kota Damansara. - Foto Eizairi Shamsudin

Program pusat jagaan komuniti di PPR

PETALING JAYA: Kerajaan akan mewujudkan program khas berbentuk sistem sokongan komuniti untuk setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Program itu akan dimasukkan di bawah Dasar Komuniti Negara yang dirangka bagi menjayakan pelan tindakan komprehensif pembangunan komuniti di Malaysia.

Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin, berkata menerusi program yang dijangka dilancarkan hujung bulan ini, antara perkara akan dilaksanakan adalah membantu ibu bapa yang berdepan masalah penjagaan anak terutama di kawasan perumahan kos rendah menerusi bantuan komuniti.

“Kita sedang rangka satu program bagi membantu ibu bapa dalam menguruskan anak-anak, perkara ini sudah menjadi satu isu kerana ibu bapa tidak mampu menghantar anak ke tempat asuhan atau mengupah orang gaji.

“Sehinggakan ada ibu bapa yang terpaksa mengharapkan anak yang lebih besar untuk menjaga adik yang lebih kecil.

“Maka kita akan wujudkan satu pusat jagaan komuniti, menggunakan konsep penjagaan secara sukarela, di mana ibu yang mempunyai masa terluang akan menjaga anak-anak di dalam komuniti mereka, dan apabila tiba masa ibu ini pula mempunyai urusan, ibu yang lain pula akan menjaga anak mereka,” katanya.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita ketika hadir menziarahi keluarga kanak-kanak perempuan tiga tahunyang maut selepas terjatuh dari tingkat 17 di Blok A, PPR Kota Damansara, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Zuraida berkata, pusat jagaan itu akan beroperasi antara tiga hingga empat jam, bergantung kepada keperluan.

“Kita juga akan memberikan insentif kepada mereka yang menawarkan diri untuk menyertai program berkenaan.

“Selain itu kita mahu menggalakkan supaya setiap komuniti bertanggungjawab dan prihatin terhadap ahli dalam komuniti berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai tragedi yang menimpa kanak-kanak itu, Zuraida berkata pemasangan jeriji besi bukanlah satu penyelesaian.

“Kita perlu mencari punca kejadian ini, sebab itu bagi saya pemasangan jeriji bukan penyelesaiannya, puncanya ialah keluarga yang tidak mampu dalam hal penjagaan anak.

“Jeriji ini dilihat seperti penjara, kita tidak mahu perkara ini, kita akan selesaikan masalah dengan memahami punca masalah itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi semalam, seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun maut terjatuh dari tingkat 17 selepas dipercayai tergelincir ketika memanjat kerusi plastik di balkoni rumah yang tidak dipasang jeriji atas.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumah kerana ibu bapanya keluar sejak jam 6 pagi untuk berniaga nasi lemak di Bukit Jelutong, Shah Alam, manakala kakak mangsa berusia 14 tahun keluar menghantar seorang adiknya berusia tujuh tahun ke sebuah tadika di Blok D PPR berkenaan.

Berita Harian X