Rabu, 12 September 2018 | 1:37pm
DATUK Saifuddin Nasution bersama Naib Presiden Parti PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Port Dickson, Danyal Balagopal mengadakan sidang media khas susulan pengosongan kerusi parlimen bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. - Foto Aizuddin Saad

Anwar akan bertanding di PD

PETALING JAYA: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Parlimen Port Dickson, dalam usaha Pakatan Harapan (PH) mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pengosongan kerusi itu diumumkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

"Saya sedia mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi membolehkan Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan itu.

"Anwar bersetuju menerima tawaran saya dan bersedia bertanding di Parlimen Port Dickson. Saya yakin Anwar akan menang dan menjadi Ahli Parlimen dan akan menjadi Perdana Menteri kelapan.

"Saya juga sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson berkuat kuasa serta merta kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini," katanya.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Naib Presiden, Dr A Xavier Jayakumar.

Kali terakhir Anwar, 71, bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (BEBAS) dengan majoriti 11,721 undi.

Kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Pematang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun selepas menolak rayuannya daripada hukuman penjara bagi kesalahan meliwat pada Februari 2015.

Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas PH menjadi kerajaan.

Biodata

Datuk Danyal Balagopal Abdullah

Umur: 68 tahun

Asal: Batu Kurau, Perak

Pekerjaan: Ahli Parlimen Port Dickson menang mengalahkan

calon BN, V Mogan dan Calon PAS, Mahfuz Roslan

Pengalaman: Bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bekas Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Chief De Mision Sukan Asia 2014.

Info Parlimen Port Dickson (Teluk Kemang)

- Mempunyai 75,212 pengundi pada PRU-14

- Sebelum ini dikenali sebagai Parlimen Teluk Kemang adalah kubu kuat MIC.

- Disandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah dari PKR yang mendapat 36,225 undi pada PRU-14 dengan majoriti besar 17,710 undi mengalahkan calon BN V Mogan (18,515) dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

- Satu-satunya kerusi Parlimen di Negeri Sembilan dimenangi PKR.

- Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR) menang pada pilihan raya umum 2008 buat pertama kali.

- Pada PRU-13 2013, beliau mempertahankan kerusi itu dengan majoriti tipis sebanyak 1, 579 undi.

49 dibaca
Berita Harian X