Khamis, 6 September 2018 | 7:23pm
TIMBALAN Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin pada program Sembang Mengenai Getah di Warung bersama-sama pekebun kecil getah pekan Lubok Cina, Masjid Tanah. - Foto Hassan Omar

Bajet 2019 bawa berita gembira untuk pekebun kecil

ALOR GAJAH: Meskipun kerajaan tidak mampu naikkan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) semasa, Bajet 2019 dijangka bawa berita gembira untuk pekebun kecil getah yang kini dihimpit kejatuhan ketara harga getah.

Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata jika IPG dinaikkan kepada RM3 sekilogram (kg) getah beku berbanding kadar semasa RM2.20/kg, kerajaan terpaksa membelanjakan RM1.8 bilion.

Katanya, keadaan itu bakal membebankan kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sedang terpaksa menanggung bebanan kehilangan wang ketika negara di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Bagaimanapun, kita tunggulah Perdana Menteri mengumumkan berita gembira itu dan buat masa sekarang, saya minta kira-kira 450,000 pekebun kecil getah supaya dapat bersabar dengan harga semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Sembang Getah bersama pekebun kecil di Warung Rais Corner, Lubok China, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Lembaga Getah Malaysia (LGM), Mohammad Tuan Muda.

Terdahulu, Shamsul menjawab pelbagai soalan diajukan pekebun kecil mengenai harga getah, termasuk faktor turun naik permintaan getah di pasaran antarabangsa.

Shamsul berkata, Malaysia kini menduduki tangga kelima pengeluar getah dunia selepas Thailand, Indonesia, Vietnam dan Myanmar, sekali gus menyebabkan negara tidak mampu mengawal harga.

“Ketika harga getah beku melambung kepada RM7/kg pada 2011, kebanyakan negara Afrika mula menanam getah dan pengeluarannya sejak dua tahun lalu menyebabkan lebihan penawaran getah di pasaran antarabangsa.

“Bagaimanapun, Malaysia tetap bekerjasama dengan negara ASEAN lain dalam mengawal penawaran getah bagi memastikan harga tidak terjejas lebih teruk lagi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya mencadangkan kerajaan menggunakan getah domestik sebagai bahan campuran dalam pembuatan jalan raya, selain cuba memenuhi permintaan dalam sektor pembuatan sarung tangan getah.

“Hanya ada sekitar 14,000 tan pengeluaran susu getah sebulan di negara ini sedangkan industri sarung tangan itu memerlukan 300,000 tan susu getah yang menyebabkan syarikat berkenaan terpaksa mengimport,” katanya.

744 dibaca
Berita Harian X