Khamis, 6 September 2018 | 8:59am

'Anwar perlu pasukan jitu mantap PKR'

DATUK Johari Abdul, adalah antara pemimpin PKR paling kanan yang tidak memegang sebarang jawatan dalam parti atau Kabinet.

Bekas Ketua Whip PKR untuk tempoh 2013 hingga 2018 itu tidak merajuk atau terkilan walaupun tiada sebarang jawatan. Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan itu menawarkan diri bertanding merebut jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti November ini untuk meneruskan agenda reformasi parti.

Wartawan NSTP, Nadia Hamid mengupas luahan hati Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun.


DATUK Johari Abdul. - Foto Salhani Ibrahim

Soalan (S): Datuk, ada 12 calon menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden PKR. Adakah ini petanda pemimpin PKR sedang ghairah merebut kuasa?

J: Sejak zaman Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap dan dibuang daripada Kabinet pada 2 September 1998, kita (penyokong reformasi) mula melaungkan reformasi dan kita membuat keputusan harus ada satu parti yang perlu ditubuhkan. Kalau tidak tubuhkan satu parti baharu, bagaimana kita boleh menjatuhkan kerajaan (ketika itu Barisan Nasional).

Kami memutuskan untuk tubuh PKR. Saya antara yang terbabit mengasaskan parti bersama Dr Wan Azizah. Bermula pada 4 April 1999 sehingga PRU lalu, dari situ saya melihat parti Keadilan terus berkembang, walaupun pada 2008 kita hampir tewas, tetapi selepas itu prestasi PKR terus mencanak naik. Agenda reformasi tidak pernah hilang dan kekuatan impak adalah agenda reformasi.

Itulah yang menyebabkan sokongan rakyat kepada kita tidak pernah hilang, kerana agenda reformasi. Kita jadi pembangkang sehingga 9 Mei lalu. Pada 10 Mei, kita sudah menjadi kerajaan, 20 tahun perjuangan saya bersama PKR. Apabila saya menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden, saya masuk atas kapasiti kelangsungan reformasi.

Sekarang saya bersama Rafizi Ramli dan team Reformasi 20 tahun bukan sahaja komited menjalankan tanggungjawab tetapi kita sudah masak dengan asam garam politik, melalui zaman gelap, gerhana.

Hari ini, kita melihat matahari sudah timbul kerana kita memenuhi kehendak dan cita rasa rakyat. Kita akan memastikan segala agenda reformasi dilaksanakan, walaupun tidak boleh secara keseluruhan. Tetapi di sinilah perlu lihat bermulanya agenda reformasi.

S: Pertembungan kem Rafizi dan kem Datuk Seri Azmin Ali bukti nyata pergolakan dalam PKR. Datuk sendiri memilih untuk berada dalam salah satu pasukan.

J: Pendirian saya jelas. Saya bersama Rafizi dan team Rafizi, saya mempunyai wadah bersama Rafizi untuk memperbetulkan perkara yang tidak betul, untuk memperkuatkan apa yang tidak kuat. UMNO, BN sudah membuatkan rakyat sengsara. Justeru, PKR memerlukan satu kumpulan yang jitu, kuat dan meletakkan rakyat didahulukan.

Kita akan terus mengamalkan integriti, tolak rasuah. Saya fikir Anwar memerlukan satu kumpulan yang mempunyai gaya fikir seperti beliau. Kumpulan ini tidak mempunyai agenda tersembunyi selain agenda memartabat bangsa, memartabat negara. Saya kira ahli kumpulan Reformasi 20 tahun yang sedia ada sudah teruji, teradaptasi dalam semua bentuk saringan.

Rafizi sebagai seorang anak muda kuat, berwawasan, yang memulakan evolusi reformasi, seterusnya bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK), kembali sebagai Naib Presiden, Ahli Parlimen, sehingga ditangkap dan dihumban ke dalam penjara, hilang jawatan. Ini satu proses panjang yang kita sudah saksikan. Untuk meneruskan agenda parti, Anwar sudah tentu perlukan satu kumpulan jitu.

Saya kira sudah sampai masanya untuk kita penuhi kehendak rakyat. Sudah tiba masanya parti memerlukan orang yang bertenaga seperti Rafizi. Beliau anak muda yang mempunyai visi jelas. Saya bersama dia (Rafizi). Walaupun beliau muda 20 tahun, tetapi saya tetap anggap beliau seorang pemimpin yang baik.

S: Dengan penjelasan Datuk, adakah Azmin tidak layak memimpin parti?

J: Saya tidak kata Datuk Seri Azmin tidak layak berada dalam pasukan sama. Tetapi apabila kita hendak pilih seorang pemimpin, itulah yang akan dipilih. Tidak timbul isu Azmin tidak layak, cuma saya katakan Rafizi lebih baik (bagus) daripada Azmin. Kalau perlu diberikan markah, ada kad skor, saya rasa markahnya dan kelebihan, ada pada Rafizi. Mesti ada sebabnya. Kita perlu pilih kumpulan terbaik. Kem Rafizi adalah terbaik.

S: Rakyat pilih PKR / Pakatan Harapan membangunkannegara dan pastikan aspirasi rakyat dapat dipenuhi. Pemerhati mendakwa parti gabungan PH masih bercakaran, tidak sepakat dan sering keluarkan kenyataan bercanggah antara satu sama lain?

J: Tidak. Itu semua persepsi. Saya tidak boleh menafikan tidak ada percakaran dalam parti kerana kita amalkan sistem demokrasi. Dalam mana-mana parti pun, ada perbezaan pendapat. Satu-satunya parti yang tiada perbezaan pendapat dan pemilihan, Parti Komunis agaknya. Jadi kita membenarkan perbezaan, pandangan dan pertandingan.

Selagi ia dibenarkan mengikut undang-undang, saya kira ia perkara yang amat sihat kepada parti. Kalau sekiranya ada percanggahan perlu dibuat kenyataan rasmi. Kalau bercakap di tepi jalan, informal dan peribadi, ia sesuatu yang harus diamalkan dalam pesta demokrasi. Kalau ada perbezaan pendapat, ayuh majukan (suarakan). Bukan petanda ada konflik dalaman. Beza pendapat dalam rumah tangga pun kita ada apatah lagi dalam parti.

S: Percakaran akan sebabkan parti runtuh atau dalaman parti rosak?.

J: Kita sudah matang. Kita tukar Kerajaan BN seolah-olah macam tukar baju. Tiba-tiba pada 10 Mei kita diumumkan menang, ada rakyat keluar menjerit di luar? Ada pertumpahan darah? Tiada, kerana kita sudah terlalu matang dalam berpolitik dan menerima keputusan pertukaran kerajaan dengan aman. Apa lagi dalam kes macam ini (berebut kuasa dan lupa perjuangan).

Terlalu matang untuk rakyat Malaysia mengambil tindakan ekstrim dalam kes ini. tidak mungkin. Sebelum parti ditubuhkan pada 1999, sudah berapa banyak jawatan dipertandingkan. Hanya jawatan Presiden tidak dipertandingkan, jawatan timbalan dan ke bawah semua dipertandingkan. Daripada Chandra Muzaffar, Rahmat Osman, Syed Hussin, Azmin, Aziz Khalid, semua bertanding.

Malah kita makin kuat. Lagi banyak kita bertanding lagi banyak kita berbeza pendapat, semakin kita kuat. Kita bermula dengan lima Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, sekarang kita ada 50 Ahli Parlimen. Sekarang kita paling kuat di Parlimen. Mana mungkin kita berpecah. Di mana kurangnya kita, atau pecahnya kita? Dan bertukar pemimpin itu adalah biasa, tiada yang berbeza.

Saya sendiri, sudah lima kali dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Pembangunan Negeri (IPN), naik turun. Esok ada orang datang, saya turun, lepas itu saya naik, apa masalahnya? Lepas ini kalau balik ke negeri, saya tiada masalah.

S: Dengan apa yang berlaku adakah PKR masih menafikan masalah dalaman yang berlaku dalam parti?

J: Itu beza Keadilan dengan parti lain. Kalau parti lain, perang berpecah, perang berpecah, tetapi tidak Keadilan. UMNO dan dua parti lain pun sama sahaja, apabila berperang terus pecah. Parti PKR berbeza sebab kita matang, sebab kita masuk (politik) dan tubuh parti keadilan untuk melunaskan agenda reformasi.

Parti kita ditubuhkan daripada himpunan manusia, bekas ahli parti lawan lain yang ada antaranya UMNO, MCA, MIC, Gerakan, sosialis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat yang tidak pernah berparti. PKR adalah satu campuran manusia yang saya lihat sebagai cukup matang, dan berhimpun untuk menjayakan agenda reformasi. Saya melihat orang yang takut kalau tidak ada pertandingan (jawatan dalam pemilihan parti) dan orang yang memimpin sekarang berpendirian untuk tidak ada pertandingan, orang itu yang (sebenarnya) tidak matang. Beliau ketakutan kepada satu penilaian.


DATUK Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Agenda Malaysia Baharu di Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota, Kuantan, malam tadi. - Foto Farizul Hafiz Awang

S: Ada calon mendakwa kempen pemilihan PKR yang sedang berlangsung ketika ini sebagai tidak sihat kerana mempergunakan pengaruh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk raih sokongan.

J: Anwar adalah ikon. Kita mengguna (pengaruh) Anwar bukan dalam tahun ini sahaja, tetapi sejak reformasi 20 tahun lalu. Pada 2 September 1998, Anwarlah puncanya, setiap kali ada pemilihan, reformasi, (kerana) Anwarlah orangnya. Dimana-mana kita lihat gambar, poster dan reformasi adalah kerana Anwar. Sebelum kamu berjaya, kamu guna nama Anwar, selepas kamu berjaya kamu cuba tolak anwar, tidak boleh guna nama Anwar pula. Macam mana? Beliau dipukul, masuk penjara.

Tiba-tiba sekarang, hari ini, kita cakap tidak mahu guna Anwar? Adakah kita hendak melupakan beliau? Adakah kerana kita sudah berjaya sekarang ini kita mahu humban beliau ke tong sampah? Semua calon harus menggunakan pengaruh Anwar. Kalau ada 13,000 calon yang bertanding, semua kena menggunakan Anwar, jangan gunakan orang lain. Anwarlah penyatu reformasi.

Anwar itulah kiblat PKR. Saya menyeru kepada semua calon untuk menggunakan pengaruh Anwar, pakai gambar Anwar. Kalau boleh bersama Anwar setiap malam, setiap kempen, apa masalahnya. Jadi, saya mahu bertanya kepada calon yang mendakwa menggunakan pengaruh Anwar sebagai kempen tidak sihat. Kenapa tidak sihat? Adakah kita hendak melupakan Anwar? Tidak mungkin. Kita tidak akan melupakan Anwar. Saya mengalu-alukan setiap calon menggunakan Anwar sebagai idola, jadikan beliau sebagai ikon kita.

S: Sejauh mana harapan Datuk pada pemilihan kali ini?

J: Ada tiga harapan. Pertama, meminta anggota parti memilih calon terbaik yang akan memenuhi hasrat Anwar, rakyat, dan untuk terus memperjuangkan agenda reformasi. Kita baharu memecahkan tembok penghalang kemajuan parti (break the iceberg). Kalau dikira daripada 100 hari pentadbiran, baru dua tiga langkah. Jadi golongan muda memerlukan pemimpin seperti saya, yang sudah ditarbiah selama 20 tahun dan melalui proses kematangan dan terbukti orang yang tidak mengamalkan rasuah dan boleh memenuhi hasrat rakyat untuk dipilih sebagai pemimpin.

Kedua, kita sudah tiada masa. Kita kena pastikan apa itu reformasi, yang bukannya reformasi tempelan atau cepisan. Untuk itu, kita perlukan orang yang ada dinamik, visi dan melihat orang yang mempunyai kebolehan untuk meningkatkan kuasa parti bukannya mencetuskan provokasi. Kita perlu orang yang berpandangan jauh, bijak dan boleh menilai bagaimana sesuatu matlamat parti dapat dicapai dalam tempoh masa tertentu, walaupun ada kekangan tertentu. Kita perlu orang yang mempunyai kekuatan mental, fizikal dan emosional.

Saya kira kumpulan kita (Rafizi) ada semua elemen itu. Dalam kita menuju semua ini (matlamat), kita tidak boleh mengorbankan idealisme kita. Tetapi kita berpegang kepada elemen tolak rasuah, untuk membangunkan Melayu dan negara dan kepentingan parti mengatasi segala-galanya dan kita tidak berkelahi dengan kawan daripada Pakatan Harapan. Ini semua satu dinamik kompleks yang ada pada kumpulan kita.

Saya jelas dan yakin kumpulan terbaik yang boleh memimpin parti pada masa akan datang adalah terbaik kumpulan Reformasi 20 tahun.

Ketiga, saya paling senior dalam Parlimen tetapi saya tiada jawatan. Adakah saya merajuk? Adakah saya kecewa? Tidak! Kerana saya meletakkan diri saya sebagai seorang ahli politik. Saya percaya Allah belum memberikan anugerah kepada saya, dan mendoakan yang terbaik untuk rakyat. Saya merasakan tidak ada apa-apa. Saya tidak berasa gundah gulana, saya tidak risau.

Sekurang-kurangnya saya jauh lebih baik, ada gaji berbanding nasib Anwar, nasib Rafizi yang menganggur. Merajuk ini mainan gadis muda. Saya ini tidak merajuk. Saya juga tidak terkilan. Cara saya mudah, kalau anda tekan saya lagi kuat bertenaga, saya lagi bersemangat. Kalau bagi kemudahan sangat, takut saya terlena. Sejarah saya pernah hidup senang dan akhirnya jatuh, menjadi peniaga tepi jalan. Semua jatuh bangun saya sudah rasa. Kehidupan ini macam roda. Paling penting, kena berhati baik dan ceria kerana tiada perkara yang kekal.

S: Rakyat masih panas dengan isu komplot menjatuhkan Anwar?

J: Itu bukan perkara baharu. Sudah 20 tahun itulah komplotnya. Itulah temanya, menyekat Anwar daripada menjadi Perdana Menteri. Itu yang berlaku pada 2 September 1998, tiada bezanya dengan sekarang. Sekatan dilakukan oleh orang yang sama, suasana sahaja berbeza. Kalau dahulu, suasananya mengcengkam. Orang yang sama menggunakan kuasa polis untuk menghalang Anwar. Sekarang tengok, adakah mungkin beliau boleh buat sekali lagi untuk kali kedua? Janganlah kamu dipagut ular di lubang yang sama untuk kali kedua.

124 dibaca
Berita Harian X