Selasa, 4 September 2018 | 7:27pm
NURUL Izzah menyampaikan ucaptama pada Bengkel Transformasi Industri Asia Pasifik, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Segera selaraskan TVET

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempercepatkan proses penyusunan dan penyelarasan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mengelak lulusan dalam bidang itu tidak memiliki hala tuju dalam sektor pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Bidang TVET, Nurul Izzah Anwar, berkata berikutan tidak memiliki akreditasi atau pengiktirafan daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM), kira-kira 20,000 pelajar TVET yang dikawal selia Kementerian Pendidikan (KPM) tergantung permohonan pekerjaan mereka.

Katanya, bagi memudahkan penyelarasan itu, beliau turut mencadangkan TVET dikendalikan Jawatankuasa Modal Insan di bawah bidang kuasa Pejabat Timbalan Perdana Menteri supaya proses penyelarasan dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.

“Penyusunan dan penyelarasan ini perlu disegerakan bagi memudahkan operasi.

“Lebih-lebih lagi program TVET membabitkan tujuh kementerian iaitu KSM, KPM, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Wilayah, Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Bengkel Transformasi Industri Asia Pasifik berhubung Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) Dalam Sektor Perindustrian, di sini hari ini.

Acara anjuran Deutshche Messe dan SingEx Exhibitions itu akan didakan secara rasmi di Singapura pada Oktober ini.

Ia dijangka dihadiri lebih 10,000 peserta dari 30 negara.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Industri 4.0 Malaysia, Raja Teagarajan.

Sejak tahun lalu, beberapa isu dan permasalahan membabitkan TVET timbul, termasuk isu pengiktirafan, peruntukan pinjaman dan sekolah harian yang menjalankan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) gagal ditauliahkan dan beberapa masalah lain berhubung pelaksanaannya.

Nurul Izzah berkata, sejajar usaha itu, suatu sesi ‘townhall’ membabitkan semua kementerian terbabit dalam kawal selia TVET akan berlangsung Khamis ini di Sabah.

Sesi berkenaan bertujuan merangka satu pelan tindakan khusus mengenai TVET untuk dibawa ke Kabinet.

“Kita perlu segera memandangkan jangka masa untuk pelaksanaan semakin pendek. Kabinet juga perlu bertindak segera berikutan Jawatankuasa Modal Insan sudah wujud dan perlu dimanfaatkan,” katanya.

Sementara itu dalam sesi ceramah berhubung IR 4.0, Presiden Persatuan Aero Angkasa, Naguib Mohd Noor, berkata Malaysia memiliki potensi dalam bidang aero angkasa yang harus dibanggakan.

“Malaysia adalah pembeli pesawat terbesar Airbus di mana kita juga menghasilkan komponen dan rekaan untuk Airbus.

“Ini bermakna kita memiliki potensi memajukan IR 4.0, namun disebabkan pemikiran negatif, menyebabkan kita ketinggalan dalam IR 4.0,” katanya.

Memetik sebuah kajian berhubung IR 4.0, Singapura dan Thailand sudah melaksanakannya, manakala Malaysia dan Indonesia masih dalam fasa permulaan.

419 dibaca
Berita Harian X