Isnin, 3 September 2018 | 11:04pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng menyampaikan ucapan ketika hadir ke Majlis Taklimat Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bersama Menteri Kewangan di Hotel Royale Chulan, Seremban. Turut bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. - Foto Iqmal Haqim Rosman

1 negeri 1 pegawai penerangan SST

SEREMBAN: Setiap negeri akan mempunyai seorang pegawai khas yang bertanggungjawab untuk memberi penjelasan berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada orang ramai.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata individu itu bukan seorang pengarah tetapi pakar dalam sistem percukaian yang dapat membantu memberikan penjelasan lengkap mengenai SST.

“Kita tidak perlukan ramai pegawai khas kerana bimbang akan memberikan sehingga tiga hingga empat jawapan yang berbeza dan boleh menyebabkan kekeliruan serta kelam-kabut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat SST bersama Menteri Kewangan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Lebih 500 orang termasuk pemilik syarikat hadir mendengar sesi taklimat yang diadakan itu.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, pegawai itu perlu menjawab semua aduan yang dikemukakan oleh orang ramai berkaitan SST secara lisan.

Bagaimanapun katanya, jika orang ramai perlukan jawapan bertulis, mereka boleh mendapatkan daripada Pengarah Kastam di setiap negeri masing-masing dalam tempoh seminggu.

Berita Harian X