Isnin, 3 September 2018 | 6:09pm
PENGUNJUNG menikmati makanan Malaysia yang dijual semasa program Malaysia MAKAN Fest 2018 di Yokohama, semalam.

'Die Food' Malaysia laris di Jepun

YOKOHAMA: Hampir 4,000 pengunjung menyerbu Malaysia MAKAN Fest 2018 yang menjual pelbagai jenis makanan tradisi dan produk Malaysia selama dua hari berakhir semalam di Zou-no-hana-Terrace, di sini.

Pengunjung dari pelbagai golongan umur dan latar belakang sanggup beratur panjang mulai jam 10 pagi untuk menikmati makanan pedas dan panas yang dianggap ‘die food’ oleh rakyat Jepun khususnya generasi muda.

Antara makanan dan minuman yang laris dan menjadi pilihan termasuk mee kari, mee Hokkien, mee goreng, rendang ayam, ayam bakar, sate, nasi lemak, nasi ayam, sambal udang, otak-otak, murtabak, ayam pedas lada hitam, bubur cha cha, kuih muih, ais kacang, air asam boi dan teh tarik.

Penganjur program, usahawan Steven Ozeki Tan, berkata sambutan tahun ini amat menggalakkan berbanding sebelum ini meskipun cuaca tidak begitu baik dengan hujan hampir sepanjang hari.

Beliau berkata program tahunan kali ketiga inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membabitkan ahli perniagaan Malaysia di negara ini bersama NGO Jepun bertujuan mempromosi Malaysia menerusi aspek kebudayaan, kesenian dan pelancongan.

Katanya, peserta kebanyakannya terdiri daripada usahawan Malaysia yang mengusahakan syarikat dan restoran halal di Jepun.

“Tahun pertama festival berlangsung di tempat sama pada 2016, hampir 2,000 pengunjung hadir namun makanan habis dijual tidak sampai dua jam dibuka kepada orang ramai.


DATUK Ahmad Izlan (dua dari kanan) dan Steven (kanan) melawat gerai peserta yang menjual produk Malaysia.

“Kami agak panik kerana restoran agak jauh dari lokasi festival dan mengambil masa penghantaran kerana ada makanan terpaksa dihantar menggunakan keretapi selain kereta.

“Begitu juga pada tahun lalu, walaupun makanan ditambah, namun cepat habis menjelang tengah hari.

“Kali ini, jawatankuasa bersiap sedia bagi memastikan makanan mencukupi dan ditambah dari semasa ke semasa sehingga program selesai pada jam 6 petang, sekali gus menggelak pengunjung kecewa terutama yang datang dari jauh,” katanya kepada NSTP hari ini.

Majlis perasmian Malaysia MAKAN Fest 2018 disempurnakan Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris, kelmarin.

Turut hadir, Kaunselor Pertanian, Pejabat Penasihat Pertanian di Jepun, Mohd Taqiuddin Zakaria.

Sebanyak 16 syarikat Malaysia termasuk restoran menyertai festival itu antaranya Royal Selangor, Brahim’s Food Japan, Malaysiancuisine, Malay Kampung, Malaychan Satu, Midin Sarawak, Royal Selangor, NBKK AYAM Brand, Chilibali, Gootara Cafe, Book Store Uchiyama, A1 Bak Kut Teh dan Nanyang Trading Co.

Pelbagai aktiviti pengisian turut diadakan bersempena sambutan Kemerdekaan Malaysia yang ke-61 termasuk pameran kraftangan, persembahan tarian kebudayaan oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya, bengkel melukis batik dan pertandingan kuiz mengenai Malaysia dengan hadiah menarik disediakan serta aktiviti untuk kanak-kanak.

Steven yang juga ahli perniagaan Malaysia yang bermastautin di Jepun hampir 36 tahun berkata, produk makanan dan minuman Malaysia juga laris dijual hasil penyertaan pertama kali Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam program itu.

“Makanan Malaysia yang pedas dan berempah kini menjadi kesukaan dan pilihan rakyat Jepun khususnya golongan wanita dan remaja.

“Festival seperti ini memberi peluang kepada mereka merasai dan membeli hampir 100 jenis produk kita seperti sos cili, rempah, pes makanan, sardin, santan, jem pandan, roti canai dan madu kelulut untuk dinikmati seisi keluarga,” katanya.

Pada majlis sama, Ahmad Izlan turut melancarkan program Malaysia Fair yang bakal diadakan pada 2 hingga 4 November depan di Shinjuku Chuo Park.

Mengulas mengenai program itu, Mohd Taqiuddin berkata ia kemuncak kepada program promosi yang diadakan sepanjang tahun ini yang menonjolkan elemen perdagangan dan pelaburan dalam sektor agromakanan, pelancongan dan pendidikan.

“Dijangka seramai 20,000 pengunjung akan mengunjungi pameran pertama kali diadakan itu dengan kerjasama pelbagai agensi dan syarikat tempatan.

"Malaysia akan mempamer dan mempromosi produk dan kepelbagaian menu makanan di samping keunikan kebudayaan dan kesenian pelbagai kaum kepada masyarakat Jepun dan antarabangsa," katanya.

Berita Harian X