Isnin, 3 September 2018 | 4:50pm

Musim umrah diawalkan mulai Muharram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi hari ini mengumumkan musim umrah bagi tahun baharu 1440H akan dimulakan lebih awal iaitu pada Muharram, bulan pertama dalam kalendar Hijrah yang akan disambut oleh umat Islam seluruh dunia dalam masa kurang daripada 10 hari lagi.

Inilah kali kedua sejak tahun lalu, Arab Saudi menetapkan permulaan musim umrah pada Muharram berbanding tahun sebelumnya yang biasanya bermula pada Safar, iaitu bulan kedua dalam kalendar Hijrah.

Akhbar harian berbahasa Arab Saudi “Okaz” yang memetik kenyataan Kementerian Haji dan Umrah, melaporkan bahawa perubahan itu bertujuan meningkatkan jumlah jemaah, selaras dengan Visi Kerajaan Arab Saudi 2030.

“Kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Luar Arab Saudi bagi mengeluarkan visa umrah untuk musim ini,” kata kenyataan itu sebagaimana dilaporkan harian “Okaz” di Riyadh.

Sementara itu, Timbalan Menteri Haji dan Umrah Dr Abdul Fattah Suleiman Mashat berkata, kerajaan Arab Saudi menyasarkan bilangan jemaah dari negara luar yang mengerjakan umrah akan meningkat kepada 15 juta menjelang 2022 dan kepada 30 juta jemaah pada 2030, selari dengan visi kerajaan Saudi.

Menurut akhbar itu, bilangan jemaah luar negara yang mengerjakan umrah sudah melepasi angka tujuh juta orang pada tahun lalu.

Menurut Mashat, kerajaan Saudi sudah memulakan penyusunan semula serta penambahbaikan dalam urusan haji dan umrah untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

Tahun lalu, Riyadh mengumumkan Visi Saudi 2030, yang bertujuan mengurangkan pergantungan kepada minyak sebagai sumber pendapatan utama dan mempelbagaikan pendapatan kewangan. – BERNAMA

Berita Harian X