Ahad, 2 September 2018 | 7:26pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam pada sidang media selepas menghadiri taklimat dan forum SST di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

Udang, ikan kering dikecualikan SST

KOTA KINABALU: Produk udang dan ikan kering dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kadar lima peratus yang dikatakan dikenakan terhadap produk makanan seperti ikan jeruk dan ikan kering atau ikan masin dalam kategori ikan dan hidupan laut adalah tidak benar.

“Jika ada, mungkin ia terlepas pandang. Mungkin cukai itu adalah berdasarkan senarai cadangan sebelum ini.

“Sekarang, ada senarai baharu yang semua boleh semak. Udang dan ikan kering adalah antara senarai barangan yang dikecualikan daripada SST,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat dan forum SST, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam.

Guan Eng berkata rakyat juga boleh mencadangkan kepada kementerian jika mereka berasakan ada lagi barangan yang harus dikecualikan daripada SST.

“Kita akan semak. Mungkin ada situasi yang memerlukan kita menyemak semula dan kita akan membuat keputusan pada akhir tahun. Kementerian ada kuasa untuk melakukan pindaan,” katanya.

Katanya, bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada pengenalan SST, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan turun padang membuat pemantauan.

Sementara itu, Subromaniam berkata JKDM akan bekerjasama dengan KPDNHEP bagi melihat kemungkinan menyediakan senarai harga cadangan bagi menstabilkan harga.

Terdahulu, dalam ucapannya, Guan Eng memberi amaran kepada syarikat telekomunikasi berkaitan tindakan mereka memotong nilai kad prabayar pelanggan kerana ia dikecualikan daripada SST.

“Apabila pelanggan membeli kad tambah nilai prabayar bernilai RM10, mereka sepatutnya dapat RM10. Kita akan pastikan pelanggan menerima nilai kad prabayar yang sama.

“Sepatutnya tiada potongan (pada nilai kad prabayar). Kita tidak mahu `ambil dulu dan rebat kemudian’. Kita akan selesaikan perkara ini dengan semua syarikat telekomunikasi,” katanya.

Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan syarikat telekomunikasi, esok.

29 dibaca
Berita Harian X