Khamis, 30 Ogos 2018 | 6:32pm
KETUA Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam menyampaikan taklimat Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada para pengamal media di Kementerian Kewangan.Turut hadir, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Mohd Roslan Mahayuddin (kanan). -Foto BERNAMA

Peniaga punca harga tinggi ketika GST

PUTRAJAYA: Tindakan segelintir peniaga mengambil kesempatan daripada proses pembayaran balik yang lambat, dengan menaikkan harga dan memasukkan cukai enam peratus dalam jualan mereka antara sebab harga barang lebih tinggi di bawah sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam, berkata gejala yang berlaku di bawah GST itu diyakini tidak akan berlaku di bawah sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau berkata, perkara itu memandangkan SST adalah sistem cukai bersifat satu peringkat yang membabitkan jumlah perniagaan yang lebih kecil.

“Menerusi GST, kita tidak berupaya mengawal semua 472,000 peniaga. Apa yang berlaku adalah beberapa input cukai yang membawa kepada harga yang lebih tinggi.

“Dengan SST, hanya kira-kira 80,000 perniagaan dijangka terbabit. Selebihnya adalah daripada cukai bersih, jadi kos pematuhan akan lebih rendah. Mudah-mudahan ini akan membantu mengurangkan kos,” katanya pada Taklimat SST Kepada Media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd Roslan Mahayudin.

Sementara itu, Mohd Roslan berkata, Ops Catut 5.0 akan digerakkan Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP bermula 1 September ini bagi memerangi gejala pencatutan harga oleh peniaga selepas pengenalan semula SST.

Beliau berkata, operasi itu akan membabitkan 73 cawangan di seluruh negara dengan pegawai penguat kuasa seramai 2,300 orang selain 1,044 pegawai pemantau harga.

“Kira-kira 800,000 sukarelawan di bawah skuad pengguna serta pihak penghulu dan penggawa juga akan digerak dalam usaha menjayakan objektif operasi ini.

“Terdapat beberapa fasa bagi operasi ini iaitu pada awal Ogos hingga hari ini, kita membuat pemeriksaan di kilang dan juga mengadakan sesi perjumpaan dengan peniaga.

“Masuk fasa kedua iaitu pada 1 September nanti, kita akan mula membuat operasi pemeriksaan bersepadu bersama JKDM. Selain itu, kita akan membuat pemeriksaan di beberapa rantaian pembekalan dan pengedaran,” katanya.

Beliau berkata, pihak yang disyaki melakukan perbuatan mencatut akan diambil tindakan yang dimulakan dengan proses pengeluaran notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.

Berita Harian X