Khamis, 30 Ogos 2018 | 1:37pm
GUAN Eng berucap pada taklimat SST bersama media di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Senarai barangan cukai SST belum muktamad

PUTRAJAYA: Senarai barangan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dipaparkan di laman web Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) belum dimuktamadkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, senarai itu akan diperbaiki dari semasa ke semasa dengan mendapat maklum balas daripada semua pihak.

Katanya, kerajaan lebih mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding hasil kutipan cukai.

"Ada sesetengah orang tidak suka saya cakap begini, tetapi apa guna kalau ada angka cantik namun rakyat menderita," katanya pada taklimat SST bersama media di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam dan Pengarah Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd Roslan Mahayudin.

Setakat ini sebanyak 5,443 barang dikecualikan SST, berbanding kira-kira 500 barang sahaja ketika era Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) manakala 5,612 dikenakan cukai jualan 10 peratus dan lebih 600 barangan bagi cukai jualan lima peratus.

Guan Eng berkata, kerajaan menggunakan pendekatan percaya sama percaya terhadap peniaga.

“Jika barangan yang mereka jual berada di bawah pengecualian cukai, peniaga boleh memohon pengecualian dan kelulusan diberikan secara automatik berdasarkan dokumen yang mereka serahkan.

“Tetapi kami akan menyemak dari semasa," katanya.

Beliau berkata, menjelang pelaksanaan SST Sabtu ini, hampir 80,000 peniaga mendaftarkan perniagaan mereka secara automatik daripada MyGST kepada MySST.

“Sebanyak 79,966 telah mendaftar dan daripada jumlah itu, 32,577 pendaftaran dibuat di bawah cukai jualan manakala bakinya, 44,874, didaftarkan di bawah cukai perkhidmatan sejak 16 Ogos lalu.

“Kita menjangkakan akan lebih banyak lagi pendaftaran. Saya tahu sistem MySST mengalami masalah teknikal malam tadi, namun ia sudah berjaya diselesaikan," katanya.

Dalam pada itu Guan Eng berkata, JKDM digesa untuk mengambil pendekatan mesra terhadap pembayar cukai dengan mempermudahkan urusan.

Katanya, pendekatan itu lebih berkesan sekali gus dapat meningkatkan imej JKDM.

“Sebelum ini JKDM mungkin mempunyai imej yang tidak mesra. Jika anda tidak membayar, mereka akan datang mencari.

“Kini kami bekerjasama di mana tanggungjawab rakyat untuk membayar cukai, jadi kami memudahkan mereka," katanya.

Berita Harian X