Isnin, 27 Ogos 2018 | 5:10pm
DATUK Mohd Azis Jamman. - Foto NSTP

300,000 tiada kad pengenalan tak benar

KUALA LUMPUR: Dakwaan 300,000 kaum India negara ini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti yang diuar-uarkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah tidak benar.

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman yang menyatakan angka itu adalah maklumat yang dikumpul sendiri ahli Parlimen pembangkang sebelum Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibentuk.

Katanya, maklumat itu bukan dikeluarkan kementerian dan tidak kaitan langsung dengan kementerian itu.

"Seperti Yang Berhormat (YB) nyatakan tadi, itu satu angka yang diambil daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang pada masa itu.

“Sudah pasti angka itu tidak tepat dan tidak benar. Hari ini saya berada dalam Dewan Negara menyatakan jumlah sebenar berkenaan dengan status masyarakat India negara kita yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk T Mohan yang mempersoal kesahihan angka 300,000 kaum India tiada dokumen pengenalan diri yang dibangkitkan sebelum ini sehingga menyebabkan MIC kehilangan kepercayaan pengundi pada PRU-14.

Mohd Azis berkata, berdasarkan statistik kementerian sehingga 31 Mei lalu hanya 3,853 permohonan kewarganegaraan diterima dalam kalangan masyarakat India dan 1,683 sudah diluluskan manakala baki 2,215 permohonan masih dalam proses.

Katanya, bagi menangani isu dokumen pengenalan diri ini, kementerian melalui Jabatan Pendaftaran Negara sentiasa produktif bagi memastikan lebih ramai warganegara mendapat kad pengenalan.

"Kita buat program turun padang, 'outreach selain unit mobile dan bas mobile bagi mendaftarkan warganegara yang tidak ada kad pengenalan diri," katanya.

149 dibaca
Berita Harian X