Sabtu, 25 Ogos 2018 | 6:30pm

Ibadah korban penuh kesyukuran di Balai Berita

KUALA LUMPUR: Penghuni rumah kebajikan, persatuan ibu tunggal dan asnaf antara tetamu program ibadat korban anjuran anjuran Badan Khairat New Straits Times Press (NSTP), hari ini.

Kehadiran mereka memeriahkan lagi program yang berlangsung dengan penuh kesyukuran di Balai Berita Bangsar, dengan kerjasama Padiberas Nasional Bhd dan Adabi Consumer Industries.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Pada acara bagi meraikan golongan asnaf sekitar Kuala Lumpur yang sudah memasuki tahun ke-10 penganjurannya itu, empat lembu dan dua kambing dikorbankan.


ABDUL Jalil (kanan) melapah daging korban sambil diperhatikan oleh kakitangan pada program "Ibadah Qurban Aidil Adha" anjuran NSTP dengan kerjasama Bernas dan Adabi di Balai Berita, Bangsar. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Eksekutif Agama Media Prima, Ustaz Zamanuddin Jusoh, berkata majlis setiap tahun itu sebagai tanda kesyukuran kakitangan dan pada masa sama, meraikan golongan kurang bernasib baik.

“Tahun ini, kita mengenal pasti tiga kumpulan penerima sumbangan yang terdiri daripada penghuni rumah anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin yang dipilih sekitar Kuala Lumpur.

“Semua penerima sumbangan iaitu dari Rumah Anak Yatim Titian Kasih Titiwangsa; Rumah Kasih Sayang Bandar Tasik Puteri dan Maahad Tahfiz Daru Furqan, serta lima ibu tunggal dan enam fakir miskin menerima daging korban, beras, barang dapur dan wang tunai.

“Seperti tahun sebelumnya, majlis bermula dengan melapah daging korban dan memasak bersama-sama dengan 50 sukarelawan, bertujuan mengeratkan tali persaudaraan bersama-sama insan yang diraikan,” katanya.

Sumbangan beras disampaikan Pembantu Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat, Bernas, Mohd Zulhelmy Ismail.

Sementara itu, Mohd Zulhelmy berkata, tahun ini adalah permulaan yang baik pihaknya bekerjasama dengan Badan Khairat Kematian NSTP dengan melakukan pelbagai aktiviti CSR.

“Tahun ini, program bermula dengan aktiviti memasak memasak bubur lambuk dan diikuti majlis korban dengan sumbangan seekor lembu korban dan 600 kilogram beras,” katanya.

ABDUL Jalil (tengah) bergambar bersama penerima asnaf dan kakitangan NSTP yang bertugas pada program "Ibadah Qurban Aidil Adha" anjuran NSTP dengan kerjasama Bernas dan Adabi. Majlis ibadah qurban berlangsung di Balai Berita, Bangsar. - Foto Khairul Azhar Ahmad
KAKITANGAN The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, melapah daging korban pada program "Ibadah Qurban Aidil Adha" anjuran NSTP dengan kerjasama Bernas dan Adabi di Balai Berita, Bangsar. - Foto Khairul Azhar Ahmad
KAKITANGAN The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, menimbang daging korban pada program "Ibadah Qurban Aidil Adha" anjuran NSTP dengan kerjasama Bernas dan Adabi. Majlis ibadah qurban berlangsung di Balai Berita, Bangsar. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Berita Harian X