Sabtu, 25 Ogos 2018 | 3:10pm
SAIFUDDIN (kanan) ketika hadir pada program Dialog 10 Janji 100 Hari Apa Kata Menteri di Pusat Komuniti DUN Semambu. - Foto Farizul Hafiz Awang

Kerajaan teliti syarat perjanjian MCKIP

KUANTAN: Kerajaan akan meneliti syarat perjanjian pembinaan tembok Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) terlebih dulu sebelum mengambil sebarang keputusan sama ada untuk merobohkan atau sebaliknya.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya sedang meneliti syarat perjanjian yang dibuat kerajaan terdahulu dengan pihak pengurusan MCKIP sama ada terdapat terma untuk membina tembok itu atau tidak.

“Saya sedang teliti syarat perjanjian itu dan lihat ada atau tidak syarat yang dimasukkan untuk membina tembok.

“Jika pembinaan tembok tidak mengikut peraturan (tiada dalam perjanjian) kita kena rujuk (undang-undang) adakah boleh roboh tembok berkenaan, kita kena kenal pasti ia di bawah bidang kuasa yang mana...adakah di bawah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri program dialog di Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, di sini, hari ini.

Beliau secara peribadi menyatakan tidak mahu tembok itu mengelilingi kawasan perindustrian berkenaan, namun segala keputusan perlu dilakukan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, menyatakan sudah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi sebuah syarikat yang beroperasi di MCKIP iaitu Alliance Steel Sdn Bhd untuk mendengar pandangan mereka mengenai beberapa perkara.

“Apabila saya dengar mereka luahkan beberapa perkara seperti isu air, pihak mereka mengatakan ada pihak A kata boleh berbuat begitu (ambil air secara salah) dan ada pihak B kata tidak boleh begitu...kita faham mereka juga tersepit dan kita tidak salahkan mereka.

“Sebab itu penting untuk kami teliti semula syarat yang dibuat kerajaan terdahulu supaya kami faham dan boleh menyatakan kepada mereka (pengurusan MCKIP) mengenai apa yang kita kehendaki,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan MCKIP akan menguntungkan kedua-dua negara, namun soal kedaulatan dan undang-undang negara perlu dipatuhi.

Ketika diwawancara media tempatan baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan mahu melihat tembok mengelilingi MCKIP dirobohkan dan memaklumkan perkara itu sudah disampaikan kepada Beijing.

Mengulas mengenai lawatan Dr Mahathir ke China selama lima hari bermula 17 Ogos lalu, Saifuddin berkata ia berlangsung dengan baik dan harus dilihat dalam konteks kejayaan buat Malaysia secara keseluruhannya.

Beliau berkata, Dr Mahathir turut memberi jaminan hubungan Malaysia-China akan berlangsung mesra dan rapat selain bersedia untuk meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang kerjasama baharu seperti e-perdagangan, agrikomoditi dan teknologi.

“Dr Mahathir turut sampaikan kepada kerajaan China mengenai kedudukan terkini negara seperti keadaan ekonomi serta beban hutang ditanggung dan China memahami keadaan negara kita,” katanya.

Berita Harian X