Isnin, 20 Ogos 2018 | 8:45pm
KETUA Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor (kiri) bersama anggota membersihkan persekitaran kawasan dewan utama selepas merasmikan Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peingkat Kontijen Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir

Bersihkan semua premis PDRM elak denggi - Mazlan

SHAH ALAM: Pegawai dan anggota polis di seluruh Selangor diingatkan untuk menitikberatkan kebersihan termasuk di pejabat dan premis Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pencegahan awal memerangi denggi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, ancaman denggi menuntut tanggungjawab yang lebih tinggi serta tindakan berkesan daripada semua pegawai dan anggota PDRM.

"Semua pihak harus berganding bahu dalam membanteras penyakit ini daripada terus merebak.

"Usah mengharapkan Pejabat Kesihatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak tertentu (saja) melakukannya.

"Sebagai warganegara bertanggungjawab, kita perlu memainkan peranan melalui aktiviti gotong-royong seperti secara berkala setiap minggu," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kontinjen Selangor di Dewan Utama, IPK Selangor di sini, hari ini.

Mazlan berkata, program gotong-royong mega itu diadakan serentak di seluruh negara membabitkan kontinjen negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

"Program gotong-royong mega secara serentak seluruh negara membabitkan semua kontinjen dan IPD petang ini memberi fokus kepada aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran bangunan dan premis polis.

"Peningkatan kes dan kematian akibat denggi boleh berlaku pada bila-bila masa, apabila kawasan persekitaran tidak bersih dan ia akan memberi ruang pembiakan nyamuk Aedes.

"Jadikan ini amalan hidup bukan kerana dilancarkan sekali sekala seperti hari ini, sama ada rumah mahu pun di pejabat dan di mana-mana sekali pun supaya tidak memberi ruang dan peluang kepada apa saja penyakit boleh membiak di kawasan kita," katanya.

24 dibaca
Berita Harian X