Isnin, 20 Ogos 2018 | 7:13pm
PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zulkarnain Yasin. - Foto Imran Makhzan

Serpihan tayar, bangkai antara punca kemalangan LPT2

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 2,765 kes kemalangan dilaporkan di sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT2) tahun lalu yang antaranya berpunca pemandu terlanggar pelbagai objek termasuk serpihan tayar, kayu dan batu di atas jalan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zulkarnain Yasin, berkata terdapat 28 kes kemalangan akibat terlanggar serpihan tayar, 25 kes terlangar besi, 36 kes kerana kayu, 36 kes terlanggar bangkai haiwan dan empat kes terlanggar penghadang plastik.

“Sebahagian besar kemalangan berlaku kerana pemandu kereta dan motosikal tidak dapat mengelak daripada terlanggar objek tersebut,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Unit Penguatkuasa Ronda Lebuh Raya (UPRL), di Ibu Pejabat JPJ negeri, di sini, hari ini.

Zulkarnain berkata, peronda UPRL ditugaskan membuat rondaan di sepanjang LPT2 bermula dari plaza Tol Kuala Terengganu hingga ke plaza Tol Jabor di Kemaman sejauh kira-kira 194 kilometer (KM) dan menghubungi pihak konsesi lebuh raya untuk mengutip objek yang boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna lebuh raya.

Ketika mengulas tanggungjawab dan peranan peronda UPRL yang mula bertugas sejak Selasa lalu hingga akhir bulan ini, Zulkarnain berkata, tujuh kesalahan utama dilakukan pemandu kenderaan akan diambil tindakan.

Katanya, antara kesalahan akan dikenakan tindakan oleh peronda UPKL adalah tidak memakai tali pinggang keledar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong garisan dan menggunakan lorong kecemasan.

“Peronda UPRL tidak akan mengadakan sekatan jalan raya di sepanjang lebuh raya, sebaliknya saman ke atas pemandu kenderaan yang didapati melakukan kesalahan itu akan dikeluarkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

“Tindakan mengeluarkan saman ke atas pemandu yang melakukan kesalahan itu terpaksa dikeluarkan di R&R bagi mengelakkan kesesasakan aliran trafik,” katanya.

Berita Harian X