Isnin, 20 Ogos 2018 | 7:09pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan negeri, Dr Abdul Aziz Bari. - Foto Muhaizan Yahya

Aziz Bari nafi mahu jatuhkan MB Perak

IPOH: Tindakan DAP membangkitkan isu hak milik kekal kepada kampung baru bukan mahu menjatuhkan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu tetapi hanya memperjelas apa yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan negeri, Dr Abdul Aziz Bari, berkata tidak timbul isu mahu menekan Menteri Besar untuk menunaikan janji dalam manifesto berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata, ada sesetengah pihak yang cuba ingin mengeruhkan keadaan dan mengambil kesempatan dengan memainkan isu berkenaan dan mengaitkan tindakan itu sebagai usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar sejak kebelakangan ini.

"Sebenarnya tidak timbul soal memaksa, menekan, mendesak atau sebagainya..sebab benda ini (isu hak milik kekal) sudahpun dipersetujui..jadi saya rasa ada sesetengah pihak hendak mengeruhkan keadaan.

"Saya rasa itulah yang menjadi persoalan dan bukan soal mendesak pun, masalahnya ramai yang tidak faham jadi ini yang saya fikir mengeruhkan keadaan di kalangan beberapa pihak dan dianggap semacam kecoh, bergaduh dalam PH yang tidak berlaku sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar merasmikan Majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak Sesi 2018/2019 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal.

Ditanya sama ada isu hak milik kekal itu hendak diteruskan atau sebaliknya, Abdul Aziz berkata:"Perkara itu sudah disebut di dalam manifesto jadi soal 'meneruskan' tidak timbul.

"Jadi, kita hendak menunaikan janji dan seperti di peringkat pusat kerajaan atau pentadbiran baharu dituntut untuk melaksanakan apa yang dijanjikan," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, menafikan partinya memberi tekanan kepada Menteri Besar berhubung isu hak milik kekal tanah.

Kor Ming dilaporkan berkata, hubungan DAP dengan Ahmad Faizal berada dalam keadaan baik, malah mereka bekerja sebagai satu pasukan serta saling hormat-menghormati.

Beliau juga dilaporkan menyatakan DAP Perak akan berdiri teguh bersama Menteri Besar dan memberi sokongan padu kepada pimpinan PH bagi membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh rakyat serta membawa pembangunan ekonomi pesat kepada negeri yang tercinta.

130 dibaca
Berita Harian X