Khamis, 16 Ogos 2018 | 7:32pm
TAN Sri Zainun Ali, - Foto Asyraf Hamzah

Kehakiman amalkan kesamarataan gender - Zainun

KUALA LUMPUR: Isu gender tidak wujud dalam badan kehakiman kerana proses pelantikan seseorang hakim dibuat hanya berdasarkan kepada kecekapan dan merit.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, berkata, hakim wanita jauh melepasi 30 peratus kuota di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Bahasa persamaan memang wujud dalam badan kehakiman. Ramai hakim wanita (di Mahkamah Rayuan dan Persekutuan) dan kita melakukannya dengan baik sekali.

“Kami (hakim wanita) perlu menjadi diri sendiri kerana kami sentiasa memiliki kekuatan tersendiri,” katanya.

Zainun berkata demikian ketika memberikan pandangannya dalam sesi soal jawab melalui forum bertajuk Shattering The Glass Ceiling: Significant Roles For Women In The Law pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2018 anjuran Badan Peguam di sini, hari ini.

Mengikut laman web badan kehakiman, daripada 25 hakim Mahkamah Rayuan, 12 daripadanya adalah wanita, manakala empat daripada sembilan hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada kaum wanita.

Pada 10 April lalu, Zainun dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat pertama bagi Rangkaian Global Integriti Kehakiman di Vienna, Austria.

Zainun yang ditemui pemberita selepas itu, berkata walaupun menghakimi sesuatu kes bukan untuk seseorang yang berjiwa lemah, hakim mesti percaya kepada diri sendiri, mempunyai integriti, jujur dan berani.

Beliau turut ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa badan kehakiman banyak dipengaruhi oleh pihak lain.

“Saya tidak tahu dari mana persepsi negatif itu timbul. Ia agak mengganggu apabila terdapat dakwaan sebegitu kerana ia tidak berlaku.

“Kami agak kecewa apabila terdapat kecaman terhadap hakim, tetapi kami kebiasaannya tidak bercakap kepada pihak media. Jadi apa yang boleh dilakukan? Perbaiki dengan lebih baik pada masa akan datang.

“Ia adalah kerana pada akhirnya, hakim harus bertanggungjawab,” katanya.

Zainun berkata, badan kehakiman berada pada kedudukan agak baik dalam kalangan rakan-rakan di peringkat serantau kerana ia adalah bebas.

Berita Harian X