Rabu, 15 Ogos 2018 | 11:29am
LIM Guan Eng. - Foto BERNAMA

Kerajaan belum muktamadkan hala tuju projek ECRL

KUALA LUMPUR: Ketetapan sama ada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sama ada diteruskan atau tidak bergantung kepada hasil rundingan yang sedang dijalankan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata jika projek itu dibatalkan, proses perundangan akan menjadi rujukan bagi menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar.

"Oleh kerana projek ini perlu dikaji semula, kerajaan mengarahkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), syarikat khusus milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, mengeluarkan notis penggantungan kerja serta-merta pada 3 Julai lalu kepada kontraktor utama iaitu China Communications Construction Company (CCCC).

"Semua kerja dan perkhidmatan berkaitan projek ECRL digantung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (BN-UMNO Maran) yang ingin tahu status terkini pembinaan ECRL dan justifikasi peningkatan kos pembinaan daripada RM55 bilion kepada RM70 bilion.

Guan Eng berkata, jumlah kos sebenar projek ECRL meningkat kepada RM80.92 bilion berbanding yang diumumkan kerajaan terdahulu iaitu RM55 billion.


- Foto hiasan

Katanya, RM55 bilion itu hanya meliputi kos asas pembinaan projek ECRL iaitu bagi Fasa 1 bermula dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, Selangor ke Wakaf Bharu, Kelantan berjumlah RM46 bilion dan Fasa 2 dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang, Selangor berjumlah RM9 bilion.

Katanya, kos berkenaan tidak merangkumi Fasa Penambahbaikan berjumlah RM11.78 bilion yang diluluskan Kabinet pada 2017, membabitkan jajaran tambahan dari Wakaf Baru ke Pengkalan Kubor, Kelantan dan pembinaan landasan berkembar sepanjang jajaran ECRL.

"Jadi, jumlah kos asas pembinaan landasan kereta api bagi Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa

Penambahbaikan adalah RM66.78 bilion dan selepas mengambil kira kos

pengambilan tanah (RM2.5 bilion), modal kerja (RM50 juta) dan lain-lain kos

operasi (RM500 juta), keseluruhan kos pembangunan adalah RM69.83

bilion.

"Kos 80.92 bilion ini meliputi Kos Pembangunan sebanyak RM69.83 bilion dan Kos Pembiayaan, RM11.09 bilion yang merangkumi bayaran faedah, kupon sukuk, yuran komitmen dan yuran pengurusan semasa pembinaan (kos faedah pinjaman selepas pembinaan belum diambil kira)," katanya.

Katanya, anggaran kos keseluruhan itu bukan baharu tetapi daripada pentadbiran kerajaan terdahulu dan tidak pernah didedahkan kepada umum.

Berita Harian X