Khamis, 9 Ogos 2018 | 4:50pm
NURUL Izzah (tengah) bersama Ahmad Rizan (kanan) dan Kamel selepas melancarkan seminar TVET Pemacu IR 4.0, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

MIMOS bakal ketuai pembangunan kokurikulum TVET

KUALA LUMPUR: MIMOS Berhad dijangka mengetuai pembangunan kokurikulum Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk menyaingi cabaran Revolusi Perindustrian Ke-4 (IR 4.0).

Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET Malaysia, Nurul Izzah Anwar, berkata ada keperluan mendesak untuk meningkatkan kualiti program dan kebolehpasaran peserta TVET susulan industri digital dan teknologi maklumat akan menjadi platform utama industri pekerjaan menjelang tahun 2020.

Katanya, trend teknologi seperti internet, kepintaran tiruan dan alam maya adalah satu cabaran kemahiran terutama untuk membina skop pekerjaan kepada generasi muda hari ini.

“TVET satu langkah besar yang memerlukan masa, pelaburan, kerjasama dan sokongan banyak pihak untuk menjayakan agenda.

“Apabila kita kemukakan cadangan kepada MIMOS, mereka menyambut baik. (Jadi) sangat bagus untuk kita melihat penyertaan lebih banyak kerjasama antara Kerajaan - Industri - Institusi untuk memasuki IR4.0,” katanya pada sidang media selepas melancarkan seminar TVET Pemacu IR 4.0, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS, Ahmad Rizan Ibrahim.

Ditanya peruntukan bagi Pelan Utama Hala Tuju TVET 2019 yang dijangka dibincangkan dalam sesi townhall pertama TVET dalam masa terdekat, Nurul Izzah berkata kerajaan bercadang mengurangkan peruntukan daripada RM300 juta kepada RM180 juta.

“Ini (pengurangan) yang saya sebut di Parlimen. Peruntukan untuk TVET melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) jumlah itu telah dikurangkan tahun ini.

“Malangnya, pengurangan peruntukan ini tidak membantu dalam (mengembangkan) kitaran graduan dan institusi yang terbabit melaksanakan TVET. Kalau peruntukan terus konsisten, ia akan selari dengan agenda kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, berkata isu lain yang akan dibincangkan pada sesi townhall adalah ketidakseimbangan sosial, tangga gaji dan ketakutan rakyat untuk menerima teknologi baharu.

Mengenai cadangan Kementerian Pendidikan untuk menjadikan TVET pilihan pertama pelajar menyambung pengajian dalam tempoh lima tahun akan datang, Nurul Izzah bersetuju namun memerlukan masa untuk pelaksanaan.

“Kita bersetuju mempercepatkan pelaksanaan TVET tetapi tetap akan mengambil masa, bermula dengan pelaburan (komitmen) hari ini.

“Walaupun (jika) bertukar menteri, agenda TVET perlu diutamakan, TVET tidak akan berubah (walau) menteri bertukar.

“(Cadangan) Keperluan kerjasama antara TVET dan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” katanya.

Berita Harian X