Khamis, 9 Ogos 2018 | 2:00pm

Jangan salah guna kuasa raih undi

PETALING JAYA: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan calon yang bertanding pada pemilihan parti itu supaya tidak menyalahgunakan kuasa dalam kerajaan untuk meraih undi.

Tegasnya, pemilihan kali ini perlu dijalankan dalam suasana yang penuh beretika.

“Seperti yang disebut oleh presiden, kita harus tegas dalam pemilihan parti dengan suasana kekeluargaan, dalam parti yang mendambakan reformasi dan nilai etika.

“Kena ingat, parti ini diasaskan untuk menentang penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“(Justeru) Calon harus elak dari penyalahgunaan kuasa, maknanya timbalan perdana menteri, menteri dan EXCO tidak boleh guna kedudukan mereka sama ada memujuk atau mengugut mana-mana ahli untuk meraih undi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Selain itu, Anwar juga mengingatkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) supaya bersikap adil ketika menjalankan tugas dengan menerapkan amalan bersih dan bebas ketika memantau proses pemilihan.

“Saya tegaskan JPP mesti bersih dan bebas. Sekarang berbeza dari dulu. JPP perlu bersikap tegas dan mereka harus pantau pemilihan kerana ia di bawah bidang kuasa mereka.

“Tetapi kebimbangan itu telah didengar, disuarakan dan sebab itu saya cakap dengan tegas bahawa ini mesti dihentikan rentetan ada menyatakan bahawa terdapat beberapa siaran yang menyinggung peribadi dan mencerca, sekali gus harus dihindari.

“Saya tegaskan, selagi saya diberi mandat untuk memimpin, saya tidak akan bertolak ansur kerana parti ini ditubuhkan untuk menentang penyalahgunaan kuasa, keangkuhan kuasa, rasuah dan pembaziran dalam tindak tanduk kita kerana kawan atau lawan tidak harus pamerkan sikap demikian,” katanya.

Anggota PKR akan mengundi pada pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung dari 14 September hingga 13 Oktober depan.

36 dibaca
DATUK Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan pada sidang media mengenai pemilihan Parti Keadilan Rakyat yang diadakan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X