Sabtu, 4 Ogos 2018 | 7:32pm
MOHAMMAD Hamdan (kanan) membuat pemeriksaan pada alat penggera kebakaran sambil diperhatikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Soiman Jahid (tengah) dan Kamarulzaman Malik (kiri) pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran di Mahkota Parade. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Keselamatan dalam air tumpuan utama JBPM

MELAKA: Keselamatan di air, menjadi tumpuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selepas kematian akibat lemas mencatatkan jumlah korban yang tinggi berbanding kebakaran.

Ketua Pengarahnya Mohammad Hamdan Wahid berkata, JBPM sebelum ini lebih banyak terbabit dalam operasi mengeluarkan mayat mangsa dari air, namun kali ini mahu beri tumpuan kepada operasi menyelamat mangsa.

Beliau berkata, tahun lalu saja, 297 kematian direkodkan akibat lemas manakala hanya 165 akibat kebakaran.

"Tahun ini hingga Jun, 215 kematian akibat lemas direkodkan berbanding hanya lima mangsa yang terkorban akibat kebakaran.

"Terkorban akibat lemas dalam sungai dan tali air mencatatkan rekod kematian paling tinggi untuk dua tahun berturut-turut berbanding lemas di pantai," katanya, pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Bomba Melaka, di Mahkota Prade di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Kamarulzaman Malik Abdullah.

Mohammad Hamdan berkata, dua elemen utama akan digunakan JBPM dalam memberi tumpuan kepada keselamatan dalam air iaitu pembelajaran dan penguatkuasaan.

"Pencegahan ini perlu membabitkan kerjasama semua pihak, bukan saja pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi juga badan bukan kerajaan (NGO), bagi memudahkan usaha ini dijalankan.

"Dua kempen keselamatan di air sudah kita rancang dalam masa terdekat, masing-masing pada 11 Ogos ini di Taiping, Perak dan 22 September di Terengganu," katanya.

13 dibaca
Berita Harian X