Sabtu, 4 Ogos 2018 | 6:21pm
BEKAS Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee. - Foto Asyraf Hamzah

PAC: Ronald sedia terima tugas

PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee, menerima dengan hati terbuka namanya dicadangkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen (PAC).

Ahli Parlimen Beluran daripada Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya diberi tanggungjawab untuk menerajui PAC.

"Saya difahamkan satu usul akan dibentangkan di Dewan Rakyat Selasa depan. Jadi kita tunggu sajalah. Saya tiada masalah jika diminta," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, mengesahkan Ronald adalah calon tunggal pembangkang untuk mengetuai PAC selepas ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak jawatan itu.

"Ahmad Zahid menolak tawaran ketika kami berjumpa beberapa hari lalu, antara lain atas sebab beliau adalah bekas menteri Kabinet. Ahmad Zahid sebaliknya mencadangkan nama Ronald untuk mewakili pembangkang," katanya.

Vui Keong berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Kabinet semalam dan anggotanya menerima cadangan itu.

"Satu usul akan dibentangkan Selasa depan. Terserah kepada Speaker sama ada mahu membenarkan ia dibahaskan," katanya.

Berita Harian X