Jumaat, 3 Ogos 2018 | 7:45pm
MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu. - Foto Abdullah Yusof

`Tiada kompromi individu seleweng'

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perak menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan salah laku dan penyelewengan melebihi RM9 juta, membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA).

Menteri Besarnya, Ahmad Faizal Azumu, berkata pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan kerana ia membabitkan ketirisan jutaan ringgit dana rakyat.

Katanya, jika terdapat bukti kukuh penyelewengan itu, maka pihak terbabit perlu dihadapkan ke mahkamah untuk berdepan dengan tindakan undang-undang.

"Ini selari dengan pendirian kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH), tidak berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, dan ketirisan, yang menyebabkan kerugian pada dana awam.

"Dalam pada itu, kerajaan negeri akan terus menjalankan siasatan dalaman ke atas semua syarikat berkaitan kerajaan ngeri (GLC) dan agensi kerajaan negeri bagi memastikan tiada ketirisan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Perak Pavilion di Pameran Misfit 2018, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dekat sini, hari ini.

Semalam, bekas CEO PEKA ditahan susulan laporan dibuat oleh Lembaga Pengarah PEKA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berhubung penyelewengan tuntutan palsu oleh sebuah syarikat perunding, membabitkan kerugian jutaan ringgit.

CEO PEKA itu dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini untuk permohonan tahanan reman.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal turut mengalu-alukan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menerokai keunikan sukan ekstrem yang terdapat di Perak.

"Perak juga akan menganjurkan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) bermula 11 hingga 22 September ini, yang membabitkan kedatangan lebih daripada 16,000 peserta dan pegawai.

"Secara tidak langsung, pelbagai aktiviti sukan ekstrem akan diperkenalkan dan pastinya menjadi tumpuan mereka untuk datang kembali ke sini," katanya.

Berita Harian X