Khamis, 2 Ogos 2018 | 1:38pm
CHONG Chieng Jen. - Foto NSTP

Harga runcit gula dikaji semula

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula penetapan harga runcit gula bagi meringankan beban ekonomi rakyat, termasuk berkaitan pemberian Permit Import (AP).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, berkata kerajaan komited mencari langkah terbaik mengurangkan harga gula.

Katanya, penelitian akan mengambil kira pelbagai aspek dan tidak hanya tertumpu pada satu isu.

"Penetapan harga dibuat berdasarkan harga gula mentah dunia dan mengambil kira pelbagai kos, antaranya pentadbiran, operasi kilang penapis, logistik serta margin pengilang, pemborong dan peruncit bagi memproses gula mentah.

"Kerajaan turut mempertimbangkan liberalisasi sistem AP dan mengkaji dasar berkaitan pemberian AP supaya harga runcit gula selari perubahan harga di pasaran dunia," katanya.

Terdahulu, beliau menjawab pertanyaan lisan Pang Hok Liong (PH-DAP Labis) berkaitan kesediaan kerajaan mengeluarkan lebih banyak AP supaya harga gula boleh diturunkan kepada RM1.50 sekilogram.

Mengambil kira pelbagai kos berkaitan, Chieng Jen berkata, agak mustahil untuk harga jualan runcit gula putih diturunkan menjadi RM1.50 sekilogram.

"Harga gula negara ini antara yang terendah dalam kalangan negara ASEAN, iaitu RM2.95 bagi gula putih kasar dan RM3.05 untuk gula putih halus.

"Harga ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2017 dan diseragamkan di seluruh negara," katanya.

Harga gula di Indonesia adalah RM3.58 sekilogram, Vietnam RM4.41 sekilogram manakala Singapura RM4.65 sekilogram.

38 dibaca
Berita Harian X