Isnin, 30 Julai 2018 | 6:26pm

Tiada lagi isu Zakir Naik, LTTE diserah kepada pihak berkuasa

PUTRAJAYA: Isu penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik, tidak lagi dibangkitkan manakala isu berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) diserahkan kepada pihak berkuasa.

Itu antara persetujuan dicapai menerusi pertemuan tertutup antara Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa di Kompleks Islam Putrajaya di sini, hari ini.

Mujahid berkata, pertemuan kira-kira 40 minit itu berlangsung dengan mesra, malah ia satu pentas bagi menguruskan pertelagahan dalam masyarakat yang membabitkan pelbagai agama dan kaum.

"Justeru, mereka berdua bersetuju isu dikaitkan dengan LTTE ini diserahkan kepada pihak berkuasa manakala isu Zakir (Naik) diserahkan kepada kerajaan seperti diputuskan oleh Kabinet.

"Ini bermakna perkara ini diserahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan dan mereka tidak ada apa-apa isu dalam hal ini," katanya pada sidang media di lobi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini.

Sebelum ini, Mohd Asri dilaporkan meminta DAP menyatakan pendirian parti itu terhadap Ramasamy yang dikaitkan dengan kegiatan kumpulan pengganas LTTE.

Ramasamy menafikan pembabitannya dengan LTTE, sebaliknya cuma dilantik sebagai perunding proses perdamaian antara kerajaan Sri Lanka dan LTTE pada 2003 atas kapasiti Pensyarah Ekonomi Politik dan Pengurusan Antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau meminta semua pihak tidak kira agama dan kaum supaya bersabar dan tidak melakukan provokasi terhadap isu sensitif di negara ini.

"Lebih penting mencari saluran baik yang ada untuk menyelesaikan isu berlaku di dalam negara. Pertemuan pada hari ini juga adalah simbol kepada rakyat Malaysia iaitu kita boleh menyelesaikan masalah di meja rundingan. Jadi, mereka (Mohd Asri dan Ramasamy) menunjukkan langkah yang baik," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pertemuan itu satu formula iaitu isu yang perlu dibincangkan tidak dilontarkan dalam satu perbahasan yang boleh menimbulkan ketegangan atau berpotensi berlaku keadaan sedemikian.

"Jadi, mereka sudah memberikan komitmen dan saya amat bangga dengan komitmen ini. Ia sepatutnya menjadi satu standard kepada mereka yang mahu menimbulkan isu agama dan kaum.

"Selain itu, mereka juga bersetuju iaitu yang penting adalah setiap rakyat mengekalkan keharmonian dan hormat menghormati antara satu sama lain," katanya.

Ramasamy berkata, menerusi pertemuan itu, beliau menyifatkan JAKIM memainkan peranan dalam menyediakan mekanisme bagi menyelesaikan konflik yang berlaku melalui rundingan.

"Kalau tidak capai apa-apa pun...tidak mengapa. Pertemuan hari ini pun satu pencapaian, jadi tahniah kepada Mujahid kerana mengambil peranan luar biasa yang tidak disangka.

"Ini jabatan agama pertama dan menteri sanggup terima kunjungan supaya masalah yang berlaku diselesaikan," katanya.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, beliau berharap JAKIM atau mana-mana organisasi kerajaan lain boleh mengadakan pentas terutama kepada pihak yang berbeza pendapat untuk mengadakan saluran perbincangan.

"Mungkin sebelum ini Ramasamy tidak ada saluran untuk meluahkan mengenai Zakir manakala saya pun tidak ada saluran berkenaan isu LTTE, jadi hari ini ada salurannya.

"Dalam pertemuan tadi turut dibincangkan iaitu sesiapa saja, bukan saja Zakir termasuklah penceramah apa-apa agama pun boleh duduk Malaysia dengan syarat hormat kepada nilai dan undang-undang dipakai di negara ini," katanya.

MUJAHID (tengah) menyaksikan Mohd Asri (kiri) bersalaman dengan Ramasamy selepas perjumpaan tertutup di Bangunan JAKIM hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X